Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Rumah Lestari Tawau jadi model perintis pembudayaan Komuniti Hijau di Sabah

Read Time:3 Minute, 22 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Rumah Lestari Tawau yang dibangunkan oleh Majlis Perbandaran Tawau (MPT) di Taman Ria Height, Tawau, bakal menjadi model perintis bagi memperluaskan pembudayaan masyarakat rendah karbon dan amalan kelestarian alam sekitar ke daerah lain di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, inisiatif berkenaan merupakan usaha yang sangat bermanfaat kepada komuniti setempat dalam memupuk kesedaran serta kecintaan terhadap alam sekitar melalui pendekatan pendidikan dan aktiviti santai.

Beliau berkata, penubuhan Rumah Lestari Tawau yang merupakan rumah lestari pertama dibangunkan di Sabah wajar dijadikan contoh oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di negeri ini dalam memperkukuh agenda pembangunan mampan.

“Syabas dan tahniah kepada MPT kerana berjaya mengusahakan program yang sangat bermanfaat ini. Rumah Lestari merupakan program pertama seumpamanya di Sabah dan memberi manfaat kepada komuniti serta masyarakat di daerah Tawau.

“Saya fikir inisiatif ini juga boleh dijadikan contoh oleh kawasan lain di Sabah,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Karnival Tawau Lestari 2026 – Program Rakan Lestari Bandar Selamat dan perasmian Rumah Lestari di Taman Ria Height, di sini hari ini.

Mohd Arifin turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KKTP) di peringkat Persekutuan atas bimbingan, sokongan serta peruntukan yang diberikan bagi membantu pelaksanaan program seumpamanya, selain dokongan kementerian di bawah Kerajaan Negeri Sabah.

Menurutnya, program berkenaan bukan sahaja menyokong usaha pemeliharaan alam sekitar, malah berperanan menanam nilai cintakan alam sekitar dalam kalangan masyarakat, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan dan kesihatan komuniti.

Beliau turut menyokong penuh pelaksanaan program Rakan Lestari yang digagaskan kerajaan melalui PBT masing-masing, sambil berharap Rumah Lestari menjadi pusat pembelajaran dan pendedahan kepada masyarakat, khususnya golongan pelajar.

“Pendidikan sangat penting sebagai titik permulaan kesedaran terhadap kecintaan kepada alam sekitar. Saya berharap lebih ramai pelajar dan murid sekolah daripada pelbagai sekolah dapat datang ke Rumah Lestari ini untuk melihat sendiri aktiviti yang dilaksanakan,” jelasnya.

Mengulas usaha memperluaskan model berkenaan ke daerah lain, beliau berkata pihak kementerian akan meneruskan usaha tersebut dan berharap PBT lain dapat menjadikan Tawau sebagai contoh untuk mengembangkan program kelestarian masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Mohd Arifin berkata, kementerian turut memberi perhatian kepada penambahbaikan kemudahan asas di pekan dan bandar, termasuk pemasangan lampu jalan serta sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan orang ramai.

Katanya, perkara itu sedang diusahakan susulan perbincangan dan taklimat bersama Presiden MPT serta presiden PBT lain berhubung keperluan meningkatkan kemudahan asas di kawasan masing-masing.

“Perkara ini sudah diambil perhatian dan tindakan sedang berjalan melalui Setiausaha Tetap serta pihak kementerian, sebelum dibawa kepada PBT masing-masing.

“Antara amanat yang akan saya sampaikan dalam perhimpunan bersama pegawai daerah, pengerusi majlis perbandaran dan pegawai eksekutif minggu ini ialah supaya kita sentiasa bersedia mendengar serta memberikan perhatian sebaik mungkin kepada perkara yang diperlukan rakyat, termasuk kemudahan pencahayaan dan sebagainya,” ujarnya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohd Arifin berkata, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KKTP) telah menggariskan Inisiatif ke Arah Pembudayaan Masyarakat Rendah Karbon bagi memastikan semua PBT di Sabah bergerak seiring dalam menyokong kesejahteraan alam sekitar dan pembangunan mampan.

Menurutnya, pelan tindakan berkenaan merangkumi tujuh bidang utama iaitu ekologi dan alam sekitar, persekitaran hijau, reka bentuk kejiranan dan pengangkutan, bangunan hijau, pengurusan air, tenaga dan sisa pepejal, komuniti hijau serta inovasi.

Katanya, pelaksanaan kesemua inisiatif itu memerlukan pendekatan bersepadu dan berterusan daripada semua pihak supaya agenda masyarakat rendah karbon dapat diterapkan secara praktikal dalam kehidupan seharian, bukan sekadar menjadi dasar di atas kertas.

Beliau berkata, kejayaan MPT membangunkan Rumah Lestari Tawau membuktikan komitmen PBT dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 11, iaitu Bandar dan Komuniti Mampan, melalui pendidikan dan amalan penjimatan air, penggunaan tenaga bersih serta pengurusan sumber secara cekap.

Katanya, inisiatif berkenaan diharap mampu menyumbang kepada pembangunan Tawau sebagai bandar yang maju, inklusif, berdaya tahan dan rendah karbon demi kesejahteraan generasi kini serta akan datang.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap ADUN Tanjung Batu, Dr. Andi Md. Shamsureezal Mohd. Sainal dan Mohd Shoffian Mohd Said.

LEAVE A RESPONSE