Read Time:3 Minute, 12 Second
KUALA PENYU: Kemerdekaan bukan sekadar kisah perjuangan yang dikenang setiap tahun, sebaliknya ia merupakan amanah yang perlu dipelihara dan dihayati dalam kehidupan seharian.
Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching berkata, semangat patriotisme tidak seharusnya hanya dizahirkan melalui pengibaran Jalur Gemilang, nyanyian lagu patriotik atau pemakaian bertemakan kemerdekaan, tetapi perlu diterjemahkan melalui sikap saling menghormati, menjaga keharmonian, membantu golongan memerlukan dan menyumbang kepada masyarakat.
“Kita boleh mengibarkan beribu-ribu Jalur Gemilang, menyanyikan lagu patriotik dengan penuh semangat dan mengenakan pakaian bertema kemerdekaan, namun nilai cinta kepada negara yang sebenar akan terserlah melalui cara kita menghormati jiran, menjaga keharmonian, membantu mereka yang memerlukan dan menyumbang kepada masyarakat.

“Kibarkanlah Jalur Gemilang dengan betul dan penuh rasa hormat. Terangkan kepada anak-anak kita bahawa bendera itu bukan sekadar hiasan pada bulan Ogos, tetapi lambang maruah, kedaulatan dan identiti negara yang mesti dipelihara sepanjang masa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat Komuniti Madani Kampung Kekapor, di sini, semalam.
Menurut Siti Aminah, tema tahun ini, Malaysia Madani, Kesejahteraan Dinikmati, membawa mesej besar dan mendalam mengenai cita-cita membina sebuah negara yang maju, inklusif dan harmoni, dengan kesejahteraan dapat dirasai secara adil oleh seluruh rakyat tanpa pengecualian.
Katanya, kesejahteraan tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan pertumbuhan ekonomi atau pembangunan fizikal, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui peningkatan kualiti hidup rakyat.
“Kesejahteraan bukan hanya angka pertumbuhan ekonomi atau bangunan yang tinggi. Kesejahteraan mesti dapat dirasakan dalam kehidupan seharian.
“Kesejahteraan bermakna rakyat dapat memperoleh keperluan asas pada harga yang munasabah. Sebab itulah penganjuran Jualan Rahmah Madani amat bermakna kerana manfaatnya dapat dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan akses kepada perkhidmatan kesihatan, termasuk pemeriksaan kesihatan dan penyampaian maklumat berkaitan kesihatan kepada masyarakat, khususnya komuniti setempat di seluruh negara.
Dalam pada itu, Siti Aminah memuji usaha penganjur yang menggabungkan kekuatan Komuniti Madani, Kawasan Rukun Tetangga dan Kelab Belia Peneraju Inovasi Kampung Kekapor dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan.
Antaranya Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Kuala Penyu, Pejabat Kesihatan Kawasan Beaufort, Hospital Kuala Penyu, RELA Kuala Penyu serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Katanya, kerjasama berkenaan penting kerana organisasi dan agensi terbabit menjadi jambatan yang menyatukan penduduk, menyelesaikan permasalahan secara muafakat serta memastikan tiada anggota masyarakat berasa terpinggir dalam komuniti sendiri.
Program berkenaan turut diserikan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan patriotik, termasuk Jualan Rahmah Madani, pemeriksaan kesihatan percuma menerusi Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan, Program Derma Darah Jiwa Merdeka, sukaneka, Langkah Jiwa Merdeka serta gotong-royong pemasangan Jalur Gemilang.
Turut diadakan pertandingan busana merdeka kanak-kanak, pertandingan karaoke patriotik, kraftangan Hari Kebangsaan dan pelbagai aktiviti lain bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Siti Aminah turut merakamkan penghargaan kepada syarikat swasta dan persatuan yang menyumbang dalam menjayakan program, khususnya Pesona Sawit Kinabalu Sdn Bhd dan Persatuan Hainan Beaufort yang membantu menggalakkan pendermaan darah menerusi program Derma Darah Jiwa Merdeka.
Katanya, sambutan menggalakkan terhadap program berkenaan membolehkan kutipan darah mencapai jumlah yang memuaskan untuk kegunaan hospital dalam membantu pesakit yang memerlukan.
Sementara itu, beliau menyeru generasi muda dan kanak-kanak supaya memahami bahawa masa depan negara berada di tangan mereka dan semangat patriotisme perlu diterjemahkan melalui tindakan yang memberi manfaat kepada diri, keluarga serta masyarakat.
“Patriotisme generasi muda bukan dinilai melalui siapa yang paling kuat melaungkan ‘merdeka’, tetapi melalui siapa yang paling bersungguh-sungguh menimba ilmu, membina kemahiran, menjaga disiplin, menghormati ibu bapa dan guru serta menggunakan kebolehan untuk membantu masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, kekuatan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada pembangunan fizikal, sebaliknya bergantung kepada kekuatan hubungan dan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat.
“Negara tidak menjadi kuat kerana bangunannya tinggi. Negara menjadi kukuh apabila rakyatnya saling meninggikan.
“Apabila seorang anak berjaya, kita raikan bersama. Apabila sebuah keluarga ditimpa kesusahan, kita ada untuk bersama. Apabila komuniti berhadapan cabaran, kita bersama-sama menyelesaikannya.
“Itulah semangat kebersamaan yang dituntut, semangat kejiranan dan itulah semangat Malaysia Madani yang menjadi gambaran serta cerminan jiwa merdeka sebenarnya,” katanya.






