KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II Sabah merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, menerima kunjungan hormat daripada EInnovation dan EPlugd dari Norway yang diketuai Presidennya, Evald Holstad, di pejabatnya, di sini, hari ini.
Pertemuan itu membincangkan potensi kerjasama dan prospek pelaburan di Sabah, khususnya dalam sektor minyak dan gas serta aktiviti hiliran berkaitan.
Masidi berkata, Sabah sentiasa terbuka kepada pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri, selain mewujudkan peluang ekonomi, memperkukuh rantaian bekalan tempatan dan memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Evald Holstad dan rombongan atas kunjungan berkenaan yang membuka ruang untuk memperkukuh hubungan antara Sabah dan Norway, selain meneroka potensi baharu dalam sektor tenaga.
Turut hadir, Pembantu Menteri Kewangan I, Datuk Ben Chong; Ketua Pegawai Eksekutif TAS Institute Oil and Gas, Datuk Willie Ng; Ketua Pegawai Korporat dan OGSE SMJE, Terry Biusing, serta wakil berkaitan.





