Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

SUKMA XXII : Kem pelayaran Sabah tepati sasaran, bawa pulang dua pingat emas

Read Time:2 Minute, 21 Second

SUBANG JAYA: Pasukan pelayaran Sabah menepati sasaran apabila berjaya membawa pulang dua pingat emas dan tiga pingat gangsa pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang berakhir hari ini.

Presiden Persatuan Pelayaran Sabah Zainal Madi, berkata kejayaan itu membuktikan sasaran yang ditetapkan sebelum temasya berjaya direalisasikan hasil komitmen tinggi atlet, jurulatih dan seluruh pengurusan pasukan.

“Alhamdulillah, sasaran kami tercapai dengan dua pingat emas untuk menghadiahkan kejayaan kepada negeri Sabah.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian semua atlet yang telah memberikan persembahan terbaik serta menunjukkan semangat juang yang tinggi sepanjang saingan,” katanya ketika dihubungi.

Dua pingat emas Sabah disumbangkan oleh Muhammad Aiman Aqeel Mohd Firdaus dalam kelas lelaki ILCA 4 dan Nor Hafizanah Zailan dalam kelas wanita ILCA 4.

Aiman Aqeel mempamerkan prestasi cemerlang untuk mengungguli saingan ILCA 4 lelaki, manakala Nor Hafizanah turut tampil konsisten bagi memastikan emas dalam acara ILCA 4 wanita menjadi milik Sabah.

Selain dua emas, pasukan pelayaran Sabah turut membawa pulang tiga pingat gangsa menerusi Mohammad Syahieradham Raiman dalam kelas lelaki ILCA 6, gandingan Danyal Marczqui Rahmat Haron Muzaffar dan Muhammad Yusri Syahrizan dalam kelas lelaki International 420, serta gandingan Bibi Qeesha Mohd Faizal dan Natasha Wong See Kei dalam kelas wanita International 420.

Zainal berkata, pencapaian tersebut amat bermakna kerana ia bukan sahaja memenuhi sasaran kontinjen, malah mengesahkan potensi besar atlet pelayaran Sabah untuk bersaing di pentas kebangsaan.

“Tahniah dan syabas kepada semua pemenang. Mereka telah mengharumkan nama Sabah menerusi disiplin, ketekunan dan semangat juang yang tinggi di laut.

“Kejayaan ini juga menunjukkan bahawa program pembangunan pelayaran di Sabah berada pada landasan yang baik,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan tersebut tidak mungkin dicapai tanpa sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, khususnya Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Majlis Sukan Negeri Sabah (MSN Sabah), barisan jurulatih dan pegawai kontinjen serta ibu bapa para atlet.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada KBSS dan MSN Sabah atas sokongan yang diberikan, selain jurulatih, pegawai kontinjen dan ibu bapa yang sentiasa berada di belakang para atlet.

“Sokongan mereka amat penting dalam memastikan atlet dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada pertandingan,” katanya.

Menurutnya, kejayaan di SUKMA XXII Selangor 2026 perlu dijadikan sebagai pencetus semangat untuk melahirkan lebih ramai atlet pelayaran berkualiti dari Sabah pada masa akan datang.

“Kejayaan ini bukanlah penamat, sebaliknya satu permulaan untuk kita menetapkan sasaran yang lebih tinggi. Kita mahu melihat lebih ramai atlet muda Sabah diketengahkan dan diberikan peluang untuk berkembang sehingga mampu mewakili negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Zainal berharap momentum positif yang dicapai pada SUKMA kali ini dapat diteruskan menerusi program pembangunan bakat yang lebih tersusun, termasuk pendedahan pertandingan dan latihan berterusan bagi memastikan atlet pelayaran Sabah terus kompetitif.

“Kita akan terus bekerja keras. Sasaran selepas ini adalah untuk meningkatkan lagi prestasi, memperkukuh pembangunan atlet muda dan memastikan Sabah terus menjadi antara kuasa utama dalam sukan pelayaran negara,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE