Read Time:1 Minute, 25 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seramai 10 warga asing dijatuhi hukuman penjara antara empat hingga 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas pelbagai kesalahan imigresen.
Hakim Hurman Hussain menjatuhkan hukuman penjara empat bulan dari tarikh tangkap terhadap lapan tertuduh, terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita warga Filipina serta dua lelaki dan dua wanita warga Indonesia.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki warga Filipina dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 10 bulan dan satu sebatan kerana masuk ke Sabah tanpa pas yang sah dan memasuki semula Sabah tanpa pas yang sah selepas diusir keluar.
Bagi kesalahan memasuki semula Sabah selepas diusir keluar mengikut Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63, pesalah boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, dan boleh juga disebat serta disingkirkan dari Malaysia.
Seorang lagi lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 12 bulan kerana tinggal lebih masa di sabah.
Kesalahan itu dibawah seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Seorang lagi lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 12 bulan kerana tinggal di Sabah melebihi tempoh yang dibenarkan.
Kesalahan itu mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan semua tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen selesai menjalani hukuman.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen Mohd Sharifuddin Salim.






