Read Time:3 Minute, 32 Second
Oleh Wan Azrain Adnan
Kadar Pengangguran Sabah terus merekodkan trend penurunan. Walaupun masih tinggi berbanding lain-lain negeri dan wilayah, trend penurunan ini membuktikan kejayaan Kerajaan Sabah merealisasikan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi melonjakkan kesejahteraan rakyat Sabah.
Menurut Laporan Survei Tenaga Buruh Suku Tahun Pertama 2026 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada bulan Mei 2026, Kadar Pengangguran di Sabah telah menurun daripada 6.0% (Suku Tahun Keempat 2025) kepada 5.5% (Suku Tahun Pertama 2026).
Pada masa sama, jumlah penganggur telah menurun daripada 112.4 ribu kepada 103.4 ribu.

Secara keseluruhan, Sabah telah merekodkan penurunan terbesar, tatkala banyak negeri dan wilayah seperti Johor, Pulau Pinang, Terengganu, Sarawak, WP Kuala Lumpur dan WP Labuan telah merekodkan peningkatan Kadar Pengangguran.
Walaupun masih tinggi, Kadar Pengangguran Sabah telah merekodkan trend menurun yang konsisten. Sepanjang lebih 5 tahun (2020 – 2026), Kadar Pengangguran Sabah telah menurun dengan agak ketara: 8.0% (2020), 8.2% (2021), 7.6% (2024), 6.0% (Suku Ke-4 2025), 5.5% (Suku Tahun Pertama 2026).
Manakala, jumlah tenaga buruh di Sabah telah meningkat daripada 1.876 juta orang kepada 1.885 juta orang. Dengan itu, Sabah memiliki tenaga buruh ketiga tertinggi di Malaysia, selepas Selangor (4.136 juta) dan Johor (2.185 juta).
Sementara itu, Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) Sabah pula kekal tinggi pada tahap 70.3%. Ini merupakan KPTB keenam tertinggi di Malaysia.

Siringan, siswazah Sabah turut dilapor merekodkan prospek yang lebih cerah. Sebelum itu, Laporan Statistik Siswazah 2024, yang diterbitkan oleh DOSM, menunjukkan Kadar Pengangguran siswazah Sabah telah menurun secara konsisten sepanjang lima tahun (2020 – 2024), daripada 9.4% (2020) kepada 7.1% (2024).
Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) siswazah Sabah kekal stabil sekitar 87%.
Kadar Pengangguran yang terus menurun adalah hasil ekonomi Sabah yang semakin rancak, berlandaskan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ). Sejak dilancarkan pada tahun 2021, pelaksanaan SMJ telah menghasilkan kejayaan yang nyata dan konkrit, susulan tekad Kerajaan Sabah menyelesaikan pelbagai isu legasi yang telah menghindar kemasukan pelaburan dan mengekang pertumbuhan ekonomi untuk sekian lama.
Ini termasuklah memperkukuhkan bekalan elektrik dan air, serta keterhubungan rangkaian pengangkutan.
Hasilnya, Sabah telah merekodkan lonjakan pelaburan yang agak ketara. Sepanjang tempoh masa 4 tahun (2021 – 2024), Sabah telah menerima pelaburan berjumlah RM 35.38 bilion, merangkumi Pelaburan Domestik (RM 20.61 bilion) dan Pelaburan Asing (RM 14.77 bilion).
Lebih memberangsangkan, pada tahun 2025, Sabah telah menerima kemasukan besar pelaburan berjumlah RM 14.55 bilion, melonjak lebih dua kali ganda daripada RM 6.45 bilion (2024).
Malah, Pelaburan Asing telah melonjak enam kali ganda, daripada RM 1.06 bilion kepada RM 6.62 bilion. Lonjakan besar ini jelas mencerminkan keyakinan dan kesediaan pelabur asing untuk melabur di Sabah.
| Pelaburan | 2024 | 2025 |
| Jumlah Pelaburan | RM 6.457 bilion | RM 14.550 bilion |
| Pelaburan Domestik | RM 5.377 bilion | RM 7.931 bilion |
| Pelaburan Asing | RM 1.060 bilion | RM 6.618 bilion |
Tambahan lagi, menurut Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13: 2026 – 2030), ekonomi Sabah dijangka rancak dengan pertumbuhan 5.8% setahun.
Di samping itu, ekonomi Sabah dijangka akan terus rancak dengan pelaksanaan Tahun Melawat Sabah 2027, di mana ketibaan ramai pelawat bakal menjana pendapatan berbilion Ringgit kepada ekonomi Sabah.
Bagi tahun 2026, sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Sabah mensasarkan ketibaan pelawat mencapai empat juta. Ini adalah sasaran yang boleh tercapai.
Menurut Ketua Menteri Sabah, berbanding tahun 2024, ketibaan pelawat di Sabah telah meningkat 20.8% kepada 3.79 juta pada tahun 2025, yang telah menjana pendapatan sebanyak RM 8.74 bilion dan menyediakan hampir 400,000 pekerjaan.
Selain itu, Sabah akan menerima dana yang lebih besar daripada Kerajaan Malaysia. Malah Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan bahawa Sabah akan menerima RM 1.5 bilion sebagai Geran Khas Tahunan, sementara kaedah pelaksanaan Geran Khas Tahunan 40% dimuktamadkan.
Jumlah geran yang besar ini membolehkan Kerajaan Sabah melaksanakan agenda SMJ dengan lebih mantap dan menyeluruh, seterusnya merancakkan ekonomi Sabah. Ini termasuklah memperluas program pembangunan modal insan dengan melibatkan lebih ramai rakyat Sabah, agar dapat memiliki kelayakan dan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri.
Dengan jumlah pelaburan yang besar merancakkan sektor ekonomi, lebih banyak peluang pekerjaan bakal tersedia kepada rakyat Sabah. Justeru itu, Kadar Pengangguran Sabah boleh terus menurun.






