Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

SUKMA XXII : Futsal wanita Sabah buru emas, mahu cipta sejarah

Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU : Skuad futsal wanita Sabah mahu menjadikan pentas Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 sebagai medan terbaik untuk memburu kejayaan selepas acara berkenaan tidak dipertandingkan pada edisi SUKMA Sarawak dua tahun lalu.

Pengurus pasukan, Herwan Mohd Daud, berkata skuad Sabah hadir dengan motivasi tinggi dan menyasarkan sekurang-kurangnya menamatkan saingan di podium, dengan pingat emas menjadi sasaran utama.

Menurutnya, hasrat tersebut turut didorong keinginan untuk mencipta sejarah sebagai pasukan futsal wanita Sabah pertama yang berjaya meraih pingat emas dalam temasya SUKMA.

Herwan

“Harapan dan sasaran kami pada edisi kali ini memang besar. Kami mahu sekurang-kurangnya berada di podium dan sudah semestinya emas menjadi buruan.

“Pada masa sama, kami mahu menjadi pasukan futsal wanita Sabah pertama yang memenangi emas,” katanya ketika dihubungi Sabah Media di sini.

Herwan berkata, persiapan pasukan telah dilakukan secara berperingkat sejak Mei lalu bagi membentuk skuad terbaik yang mampu membawa cabaran Sabah di pentas SUKMA.

Katanya, proses pemilihan bermula dengan fasa pertama membabitkan senarai panjang pemain atau ‘long list’ sebelum diteruskan dengan fasa kedua untuk memilih senarai akhir atau ‘shortlist’.

“Fasa pertama pemilihan dimulakan pada awal Mei, manakala dari Jun sehingga Ogos, kami meneruskan kem fasa kedua untuk proses shortlist.

“Dalam tempoh itu juga, pemain diberikan pendedahan menerusi beberapa perlawanan persahabatan termasuk kejohanan empat penjuru,” katanya.

Beliau berkata, siri perlawanan persahabatan itu penting bagi membolehkan barisan kejurulatihan menilai kemampuan pemain dari aspek taktikal, kecergasan, mental serta keserasian dalam pasukan.

Sementara itu, Sabah diundi dalam Kumpulan B dan bakal memulakan kempen menentang Selangor pada 15 Ogos, jam 11 pagi.

Sabah kemudiannya akan berdepan Kelantan pada 16 Ogos, jam 4 petang, sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan menentang Wilayah Persekutuan pada 17 Ogos, jam 11 pagi.

Kesemua perlawanan dijadualkan berlangsung di Venue Sporttiza, Batu 3, Shah Alam.

Herwan berkata, ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan itu akan menjadi ujian penting kepada Sabah dalam usaha mendapatkan kedudukan terbaik untuk mara ke peringkat seterusnya.

Beliau turut berharap pemain dapat menampilkan disiplin, semangat juang dan keyakinan tinggi sepanjang kejohanan bagi merealisasikan sasaran yang ditetapkan.

“Yang penting, pemain perlu percaya kepada kemampuan pasukan dan memberikan komitmen sepenuhnya dalam setiap perlawanan.

“Kami mahu bermula dengan baik dan mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE