Read Time:1 Minute, 3 Second
KOTA KINABALU: Daerah Kota Kinabalu diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir selepas hujan berterusan sejak petang tadi mengakibatkan beberapa kawasan dinaiki air.
Pengisytiharan itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, berkuat kuasa jam 8 malam, pada Khamis.
Menurutnya, pengisytiharan itu dibuat berdasarkan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi berkaitan.

Susulan pengisytiharan itu, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masyarakat Manggatal dibuka mulai jam 8 malam tadi bagi menempatkan mangsa yang terjejas akibat banjir.
Sabin yang juga Datuk Bandar Kota Kinabalu berkata pembukaan PPS berkenaan dibuat selaras dengan pandangan dan cadangan Ahli Jawatankuasa Bencana Daerah (JPBD) Kota Kinabalu.
“Selaras dengan pandangan dan cadangan daripada Ahli Jawatankuasa Bencana Daerah (JPBD) Kota Kinabalu, adalah dengan ini saya selaku Pengerusi JPBD telah membuka PPS seperti berikut bagi menempatkan mangsa yang terlibat,” katanya.
PPS berkenaan dibuka bagi membolehkan mangsa yang terlibat mendapatkan tempat perlindungan yang selamat serta memudahkan agensi berkaitan menyelaras bantuan dan keperluan sepanjang tempoh pengurusan bencana.
JPBD Kota Kinabalu turut menyelaras tindakan bersama agensi-agensi berkaitan berdasarkan keadaan dan maklumat semasa di lapangan.
Orang ramai khususnya penduduk di kawasan rendah dan lokasi yang berisiko dinaiki air dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan keadaan banjir serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah.





