KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima 15 unit Light Operation Vehicle (LOV) berkeupayaan pacuan empat roda untuk diagihkan kepada balai bomba dan penyelamat di seluruh negeri.

Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Lizalman Abu berkata, LOV berkenaan direka bagi menyokong pelaksanaan operasi kecemasan, rondaan, logistik serta tugasan sokongan di pelbagai lapangan operasi, termasuk kawasan bandar, luar bandar dan ketika menghadapi situasi bencana.
“Penerimaan aset ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan, mobiliti dan keupayaan respons JBPM, khususnya dalam menghadapi cabaran operasi di Sabah yang mempunyai kawasan geografi yang luas dan pelbagai bentuk muka bumi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penambahan aset berkenaan dapat memperkukuh kesiapsiagaan serta keupayaan pergerakan anggota, khususnya dalam menghadapi operasi di kawasan yang sukar diakses dan ketika berlaku bencana.
Menurutnya, penerimaan LOV itu juga mencerminkan keprihatinan Kerajaan Malaysia dalam memenuhi keperluan aset JBPM bagi memastikan tahap kesiapsiagaan pasukan sentiasa berada pada tahap optimum.
“JBPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia atas keprihatinan serta kelulusan keperluan LOV ini demi memperkasakan kesiapsiagaan dan keupayaan operasi JBPM, khususnya di Sabah,” katanya.
Majlis penyerahan dan agihan 15 unit LOV itu berlangsung di Ibu Pejabat JBPM Sabah, hari ini.






