Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sabah komited pastikan perpaduan, keharmonian kekal utuh – Hajiji

Read Time:2 Minute, 5 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah terus komited memastikan aspek perpaduan dan keharmonian menjadi asas penting dalam pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat berbilang kaum dan budaya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong pelaksanaan program berteraskan perpaduan yang mampu mempertemukan rakyat daripada pelbagai latar belakang bagi memperkukuh hubungan antara komuniti.

Beliau berkata, semangat kebersamaan serta keharmonian yang diamalkan rakyat Sabah sejak sekian lama merupakan kekuatan utama dalam membentuk identiti masyarakat negeri ini.

“Kita juga turut mengangkat aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan konsep kesejahteraan, ihsan, hormat menghormati dan kemampanan dalam pembangunan negara sebagai asas keutuhan perpaduan dan kemakmuran bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Minggu Perpaduan Kebangsaan di perkarangan Kompleks Sukan Likas, di sini pada Sabtu.

Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji berkata, pemilihan Sabah sebagai tuan rumah sambutan Minggu Perpaduan peringkat kebangsaan tahun ini merupakan satu penghormatan besar kepada negeri itu.

Katanya, ia juga mencerminkan pengiktirafan terhadap budaya kehidupan masyarakat Sabah yang sejak dahulu menjadikan keharmonian dan kebersamaan sebagai amalan turun-temurun.

“Ini juga merupakan sumbangan terbesar Sabah kepada pembinaan negara bangsa Malaysia.

“Kita melihat saudara-saudara kita dari Semenanjung dan Sarawak yang hadir bersama-sama di sini bukan hanya sebagai tetamu, tetapi sebagai satu keluarga besar Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji mengajak seluruh rakyat supaya memahami semula makna perpaduan sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan yang semakin kompleks.

Beliau berkata, perpaduan sebenar tidak seharusnya hanya dinilai melalui tutur kata yang baik atau toleransi semata-mata, sebaliknya memerlukan tindakan, komitmen dan keikhlasan berterusan.

“Perpaduan yang tulen menuntut tindakan nyata, komitmen berterusan, rasa saling menghormati dan yang paling utama ialah terjaminnya keadilan sosioekonomi serta kesaksamaan bagi setiap wilayah,” katanya.

Menurut beliau, sesebuah negara majmuk seperti Malaysia hanya akan benar-benar kukuh apabila setiap rakyat, negeri dan wilayah merasakan diri mereka dihargai, dilindungi serta dibangunkan secara adil.

“Dengan semangat kekitaan dan kebersamaan sebagai satu keluarga besar Malaysia, hidup dalam semangat perpaduan itu penting dan hidup dalam keharmonian juga penting ke arah kemakmuran serta kesejahteraan yang berkekalan,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Sabah supaya terus memelihara keharmonian, menghargai kepelbagaian kaum dan agama serta memperkukuh semangat muhibah yang menjadi identiti unik masyarakat negeri itu.

Katanya, dengan kerjasama semua pihak, usaha memperkukuh perpaduan dan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan melalui kesepakatan sosial serta iltizam bersama.

“Marilah kita terus mempereratkan komitmen bersama untuk memelihara kemakmuran, memperkukuh perpaduan dan memastikan keharmonian yang kita warisi hari ini dapat terus dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya.- SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE