KOTA KINABALU: Yayasan PETRONAS menyalurkan sumbangan barangan makanan bersempena Kaamatan menerusi Program Memacu Kehidupan, yang memberi manfaat kepada 300 isi rumah di Papar.
Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan Datuk Siti Ayu Abdul Wahab telah menyerahkan sumbangan itu secara simbolik kepada Naib Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Datuk Juil Nuatim dalam majlis pelancaran sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 pada Jumaat.
Majlis yang berlangsung di Dewan Terbuka Tapak Tamu Mingguan Papar itu turut disaksikan oleh Timbalan Presiden KDCA, Datuk Seri Jeffrey Kitingan serta Pegawai Daerah Papar, Muhammad Mohd Ali.
Pek makanan berkenaan akan diagihkan secara berperingkat oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah sepanjang bulan Kaamatan, mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan teh, selain kuih-muih perayaan.
Program Memacu Kehidupan merupakan sebahagian daripada inisiatif impak sosial Yayasan PETRONAS yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan komuniti, menyokong pendidikan, mempromosikan kelestarian alam sekitar, dan memperkukuh daya tahan masyarakat.
Ia turut bertujuan memperluas peluang sosioekonomi dan menyumbang kepada pembangunan jangka panjang komuniti di seluruh negara.






