Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

RM5 juta geran padanan hidupkan semula 10 Memorial Negarawan termasuk Sabah

Read Time:1 Minute, 30 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Kerajaan menyediakan geran padanan berjumlah RM5 juta bagi menghidupkan semula 10 Memorial Negarawan sebagai usaha menghargai jasa serta sumbangan tokoh-tokoh yang membentuk sejarah negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh semangat patriotisme dan perpaduan rakyat dengan mengenang kembali perjuangan pemimpin terdahulu.

Beliau berkata, pembangunan memorial berkenaan penting bagi memastikan generasi masa kini dan akan datang memahami sejarah pembentukan negara serta pengorbanan tokoh-tokoh yang terdahulu.

“Untuk Belanjawan 2027, saya telah menambah mengikut keperluan Kementerian ini iaitu menanam semangat patriotisme dan perpaduan rakyat yang dikelola oleh Arkib Negara Malaysia.

“Kita akan menyediakan geran padanan berjumlah RM5 juta bagi menghidupkan 10 Memorial Negarawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Minggu Perpaduan Kebangsaan di Kompleks Sukan Kota Kinabalu (KSKK), di sini pada Sabtu.

Anwar berkata, antara memorial yang akan diberi perhatian termasuk tokoh-tokoh utama negara seperti Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn.

Katanya, usaha sama itu turut melibatkan pembangunan Memorial Negarawan di Sabah dan Sarawak bagi menghargai tokoh yang mempunyai jasa besar dalam pembentukan sejarah negeri serta negara.

“Saya cadangkan supaya dihidupkan juga memorial tokoh-tokoh lain termasuk di Sabah dan Sarawak untuk menghargai jasa serta pengorbanan pemimpin yang telah membentuk sejarah negara,” katanya.

Menurut beliau, penghayatan terhadap sejarah negara penting bagi membentuk rakyat yang mempunyai rasa cinta kepada negara serta memahami nilai perpaduan.

Katanya, semangat patriotisme tidak boleh dipisahkan daripada usaha memperkukuh perpaduan kerana negara yang stabil memerlukan rakyat yang memahami sejarah dan menghargai kepelbagaian.

Beliau berkata, generasi muda perlu diberi ruang untuk mengenali tokoh terdahulu serta memahami bagaimana negara dibina melalui kebijaksanaan, toleransi dan semangat kebersamaan.

“Inilah usaha untuk memastikan warisan sejarah negara terus hidup dan menjadi panduan kepada generasi akan datang,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE