Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Pendidikan bermutu mampu lahirkan generasi intelek


Read Time:1 Minute, 33 Second

PUTATAN : Pendidikan bermutu mampu menjadi pemangkin utama dalam melahirkan masyarakat berilmu, berdaya saing dan berkualiti khususnya dalam kalangan generasi muda di kawasan Tanjung Keramat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata, usaha memperkukuhkan sistem pendidikan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, pihak sekolah, guru serta komuniti setempat bagi memastikan kecemerlangan akademik dapat terus dipertingkatkan.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) dan SMJ 2.0 di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turut memberi penekanan serius terhadap pembangunan sektor pendidikan di seluruh negeri termasuk di kawasan Tanjung Keramat.

“Dengan adanya lonjakan pendidikan yang bermutu di Putatan khususnya di Tanjung Keramat, warga setempat terutama pelajar mampu menjadi generasi berdaya intelek serta pelapis kepimpinan pada masa hadapan.

“Aspirasi seperti hala tuju SMJ dan SMJ 2.0 yang menitikberatkan aspek pendidikan dilihat mampu menjadi pendorong utama kepada kemajuan pendidikan di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Guru peringkat SMK Putatan di sini, pada Jumaat.

Turut hadir Pengetua SMK Putatan, Zarida Mohd Junaidi, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat, Latip Jiar serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Rosdianah Daunah.

Dalam pada itu, Shah Alfie berkata pihaknya sebagai wakil rakyat sentiasa bekerjasama dengan sekolah-sekolah di kawasan berkenaan termasuk menyediakan sumbangan prasarana, bantuan alat persekolahan dan keperluan lain demi memastikan kebajikan guru serta pelajar terus terpelihara.

Katanya, tema Hari Guru tahun ini iaitu “Guru Bintara Nadi Negara” amat bertepatan dalam menggambarkan pengorbanan serta komitmen warga pendidik yang sentiasa mencurahkan ilmu kepada murid dan pelajar.

Menurut beliau lagi, perkembangan teknologi dan perubahan zaman turut memberi cabaran baharu dalam sektor pendidikan yang perlu dipikul bersama oleh semua pihak bagi memastikan tahap pendidikan sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Usaha berterusan perlu dilakukan untuk melahirkan lepasan sekolah yang cemerlang dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara pada masa depan,” katanya.

LEAVE A RESPONSE