Read Time:1 Minute, 51 Second
TUARAN: Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) menjadi platform strategik bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mendekati masyarakat setempat, khususnya dalam memperkenalkan peranan serta tanggungjawab agensi itu dalam menjaga keselamatan dan menguatkuasakan undang-undang di perairan negara.
Pegawai Jurutera Marin, KM Bendahara, Lt Kdr (M) Ahmad Syafiq Abdul Hamid berkata, penyertaan APMM dalam program berkenaan memberi peluang kepada anggotanya berinteraksi secara langsung dengan masyarakat di setiap lokasi persinggahan konvoi.
Menurutnya, pendekatan berkenaan penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai fungsi dan peranan APMM, terutama dalam kalangan komuniti di kawasan pedalaman serta mereka yang bergantung kepada sektor maritim dan perikanan.
“Penglibatan APMM dalam KMJG ini membolehkan kita memperkenalkan dan mempromosikan peranan maritim kepada rakyat, terutamanya di kawasan pedalaman dan komuniti setempat.

“Kita juga dapat mendengar luahan serta masalah yang dihadapi masyarakat setempat, khususnya berkaitan maritim dan perikanan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Tuaran, di sini.
Ahmad Syafiq berkata, penglibatan APMM dalam KMJG turut meliputi beberapa lokasi lain di Sabah termasuk Tawau dan Sandakan, sekali gus menyediakan ruang lebih luas untuk agensi itu berinteraksi dengan masyarakat di negeri ini.
Katanya, interaksi secara bersemuka dengan komuniti, khususnya ketika program berlangsung di Kuala Penyu, membolehkan APMM menyampaikan visi dan misinya selain mendapatkan maklum balas berkaitan isu yang dihadapi masyarakat.
“Interaksi secara bersemuka bersama komuniti, khususnya ketika program berlangsung di Kuala Penyu, membolehkan kami menyampaikan visi dan misi APMM serta mendapatkan maklum balas berhubung isu yang dihadapi masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, KMJG turut menyediakan pelbagai pengisian menerusi kluster industri, sukan dan komuniti yang memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan pendedahan serta maklumat secara lebih dekat.
Menurutnya, penerapan elemen sejarah dan semangat kemerdekaan sepanjang program berkenaan juga mampu menyemai jati diri serta meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat setempat.
“Sejarah telah diwar-warkan dan semangat diterapkan dalam jiwa di setiap peringkat. Ini dapat meningkatkan lagi jati diri dan semangat kemerdekaan warga setempat,” katanya.
Beliau berharap penglibatan APMM dalam KMJG dapat diteruskan sebagai usaha memperkukuh hubungan antara agensi penguat kuasa itu dengan masyarakat, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga keselamatan perairan negara.
Katanya, kefahaman masyarakat terhadap peranan APMM juga penting bagi memastikan sebarang isu berkaitan keselamatan, maritim dan perikanan dapat disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.






