Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Yayasan Sabah tawar rebat sehingga 30 peratus, pengampunan CTOS kepada peminjam

Read Time:1 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU: Yayasan Sabah menawarkan insentif rebat sehingga 30 peratus menerusi Program Rebat Budi Madani 2026 bagi menggalakkan peminjam pinjaman pengajian melunaskan bayaran balik pinjaman mereka.

Program berkenaan berlangsung dari 8 hingga 28 Oktober 2026, dengan tiga kategori rebat ditawarkan kepada peminjam yang memenuhi syarat ditetapkan.

Yayasan Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, pelaksanaan program itu bertujuan menghargai peminjam yang komited membuat bayaran balik pinjaman pengajian, selain memupuk budaya pembayaran balik yang konsisten dan mampan.

Menurutnya, sambutan amat menggalakkan terhadap pelaksanaan program Rebat Madani pada Ogos dan September lalu mendorong Yayasan Sabah meneruskan tawaran insentif berkenaan.

“Program Rebat Budi Madani 2026 mengekalkan tawaran rebat yang menarik bagi menggalakkan lebih ramai peminjam menunaikan obligasi membuat pembayaran balik pinjaman pengajian.

“Langkah ini sekali gus menyumbang kepada kelestarian dana tajaan pengajian Yayasan Sabah,” katanya.

Di bawah program itu, rebat 30 peratus ditawarkan kepada peminjam dalam kategori Aktif Bayar, iaitu mereka yang membuat pembayaran secara konsisten dan berhasrat melunaskan keseluruhan baki pinjaman.

Rebat 25 peratus pula ditawarkan kepada peminjam yang tidak termasuk dalam kategori Aktif Bayar tetapi berhasrat melunaskan keseluruhan baki pinjaman.

Sementara itu, rebat 20 peratus diberikan kepada peminjam yang membuat pembayaran secara ansuran.

Yayasan Sabah berkata, kadar rebat yang ditawarkan itu merupakan tanda penghargaan kepada peminjam yang aktif, konsisten dan berdedikasi dalam mematuhi jadual pembayaran balik pinjaman yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Yayasan Sabah turut melaksanakan program pengampunan Credit Tip-Off Service (CTOS) bagi membantu meringankan beban peminjam yang sebelum ini perlu menjelaskan jumlah tunggakan pinjaman yang besar untuk dikeluarkan daripada senarai CTOS.

Bagi memudahkan peminjam mendapatkan penerangan mengenai program berkenaan, Yayasan Sabah akan mengadakan jelajah ke beberapa daerah di Sabah untuk bertemu secara bersemuka dengan peminjam yang berminat menyertai Program Rebat Budi Madani 2026 dan program pengampunan CTOS.

Maklumat lanjut mengenai tarikh dan lokasi jelajah akan diumumkan dari semasa ke semasa menerusi media sosial Yayasan Sabah.

Selain itu, peminjam boleh mendapatkan maklumat dan membuat urusan berkaitan di Kaunter Pembayaran Balik Pinjaman Pengajian, Bahagian Pungutan Pinjaman Pengajian, Aras 26, Menara Tun Mustapha, Kompleks Ibu Pejabat Yayasan Sabah.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai Program Rebat Budi Madani 2026 serta Pengampunan CTOS boleh diperoleh menerusi Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah.

Peminjam juga boleh menghubungi talian 011-33181088, 014-3288868, 016-8286125, 010-9556977 atau 010-2366967, atau melalui e-mel bayaranbalikpinjaman@ysnet.org.my.

LEAVE A RESPONSE