Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sabah angkat gusti lengan tradisi ke pentas antarabangsa

Read Time:3 Minute, 11 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Sukan gusti lengan yang sekian lama menjadi sebahagian daripada tradisi masyarakat Sabah, khususnya ketika sambutan Pesta Kaamatan, kini melakar sejarah baharu apabila berjaya menembusi pentas antarabangsa menerusi penganjuran kejohanan bertaraf dunia buat julung kalinya di Malaysia.

Kejohanan selama dua hari bermula hari ini hingga 21 Jun yang berlangsung di Palm Square, Center Point itu menghimpunkan dua jenama terbesar gusti lengan dunia, King of the Table dan East vs West, menyaksikan Sabah dipilih sebagai lokasi pertama di negara ini untuk menganjurkan acara berprestij tersebut.

Penganjur kejohanan, Michael Ford berkata, penganjuran itu membuktikan bahawa gusti lengan bukan lagi sekadar permainan tradisional yang sinonim dengan acara kebudayaan dan perayaan masyarakat tempatan, tetapi telah berkembang menjadi sukan profesional yang mendapat perhatian global.

Menurut beliau, kejohanan berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Sabah Tourism sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sektor pelancongan sukan serta memperkenalkan Sabah kepada komuniti gusti lengan antarabangsa.

“Ramai mengenali gusti lengan sebagai sukan tradisi yang sering dimainkan ketika Pesta Kaamatan, tetapi hari ini kita berjaya membawa atlet terbaik dunia ke Sabah.

“Ini bukan sekadar pertandingan, tetapi platform untuk menunjukkan bahawa Sabah mampu menjadi tuan rumah acara sukan bertaraf antarabangsa,” katanya ketika ditemui Sabah Media semasa kejohanan itu pada Sabtu.

Kejohanan itu menarik penyertaan atlet dari Taiwan, Thailand, Indonesia, Filipina, Brunei, Korea Selatan, China, Sweden, Rusia dan Semenanjung Malaysia.

Malah, terdapat peserta yang sanggup memandu dari Kuching untuk menyertai pertandingan tersebut, sekali gus menggambarkan tarikan luar biasa acara berkenaan.

Menurut Michael, sambutan yang diterima jauh melebihi jangkaan dengan lebih 200 atlet menyertai pelbagai kategori sepanjang kejohanan berlangsung.

Selain kategori amatur, pertandingan turut melibatkan kategori wanita, Masters dan profesional, manakala acara kemuncak menyaksikan 24 atlet terbaik dari rantau Asia serta antarabangsa berentap dalam format super match satu lawan satu.

“Apa yang menarik, kebanyakan atlet antarabangsa yang hadir merupakan juara atau antara atlet terbaik negara masing-masing. Mereka datang ke Sabah untuk bersaing dengan atlet terbaik rantau ini,” katanya.

Di sebalik kejayaan menganjurkan kejohanan tersebut, Michael sendiri merupakan antara atlet gusti lengan Sabah yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Atlet berusia 37 tahun itu telah berkecimpung dalam sukan gusti lengan selama lebih 15 tahun dan mula memberi tumpuan secara serius kepada pertandingan antarabangsa dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Antara pencapaian terbesar beliau ialah menjuarai kejohanan berprestij Arnold Classic 2025 di Amerika Syarikat dalam kategori super heavyweight, selain turut meraih kemenangan dalam kejohanan di Kanada.

Dalam usaha mempromosikan gusti lengan Sabah ke peringkat dunia, Michael turut aktif menyertai pertandingan antarabangsa di Amerika Syarikat, Kanada, Taiwan, Filipina, Indonesia dan Turkiye.

Beliau berkata, perkembangan pesat gusti lengan sejak beberapa tahun kebelakangan ini banyak dibantu oleh media sosial yang membuka ruang kepada jutaan penonton di seluruh dunia untuk mengenali sukan tersebut.

Katanya, jika sebelum pandemik COVID-19 gusti lengan hanya diminati kelompok tertentu, kini sukan itu berkembang dengan lebih pesat menerusi penganjuran kejohanan profesional berskala besar di pelbagai negara.

Kehadiran legenda gusti lengan dunia dari Kanada, Devon Larratt, turut menjadi tarikan utama kejohanan tersebut.

Michael berkata, kehadiran ikon sukan berkenaan memberi impak besar kepada ekonomi tempatan apabila ramai peminat dan peserta dari luar negara datang ke Kota Kinabalu semata-mata untuk menyaksikan acara tersebut.

“Kita dapat melihat hotel-hotel menerima tempahan, perniagaan tempatan mendapat manfaat dan ramai pelancong hadir kerana acara ini.

“Inilah kekuatan pelancongan sukan. Apabila acara bertaraf dunia dianjurkan di Sabah, manfaatnya bukan sahaja kepada sukan tetapi juga ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berharap kejohanan tersebut dapat dijadikan acara tahunan dengan sasaran antara 300 hingga 400 peserta pada tahun depan.

Menurutnya, penganjuran yang lebih besar pada masa hadapan mampu mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab gusti lengan utama di Asia Tenggara.

“Kami mahu melihat Sabah dikenali bukan sahaja kerana keindahan alam semula jadinya, tetapi juga sebagai destinasi utama bagi kejohanan gusti lengan antarabangsa.

“Ini adalah langkah penting untuk membawa sukan tradisi yang diwarisi sejak sekian lama ke pentas dunia,” katanya.

LEAVE A RESPONSE