Read Time:1 Minute, 32 Second
KOTA KINABALU: Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) menyasarkan kutipan bersih sebanyak RM400,000 menerusi penganjuran Majlis Malam Amal Citra Madani: Wanita Berbakti, Ummah Diberkati sempena ulang tahun ke-57 penubuhan USIA yang dijadual berlangsung pada 10 Oktober depan.
Ketua Wanita USIA, Datuk Aminah Aching berkata, majlis yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu dijangka menghimpunkan kira-kira 500 tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Beliau berkata, dana yang dikumpulkan akan digunakan bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti dakwah dan kebajikan Wanita USIA, di samping memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan masyarakat Islam di Sabah.
“Majlis malam amal ini bukan sahaja bertujuan mengumpul dana, malah menjadi platform untuk memperkasa peranan wanita serta memperkukuhkan jaringan kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat, pemimpin masyarakat dan agensi berkaitan.
“Kami menyasarkan kutipan bersih sebanyak RM400,000 bagi membantu menjayakan pelbagai program dakwah dan kebajikan Wanita USIA pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengetuai kunjungan hormat delegasi Wanita USIA kepada isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Isnin.
Menurut Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort, kunjungan tersebut bertujuan menjemput Toh Puan Faridah untuk merasmikan majlis berkenaan, selain menyampaikan hasrat melantik beliau sebagai Penaung Wanita USIA Sabah.
Beliau turut menyatakan harapan agar Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dapat hadir bersama-sama bagi memeriahkan majlis berkenaan sekali gus memberikan sokongan moral kepada usaha memperkasa agenda dakwah dan kebajikan Wanita USIA.
Majlis bertemakan Elegan Muslimah itu bakal menampilkan mantan Johan Qariah Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2009, Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman Al-Yahya serta penyanyi dan komposer terkenal, Mohammad Hafiz Hamidun.
Selain ceramah keagamaan dan persembahan artistik Islamik, majlis itu turut diisi dengan peragaan busana Muslimah, penyampaian anugerah tokoh berjasa serta cabutan hadiah umrah sebagai antara tarikan utama kepada para hadirin.






