Read Time:1 Minute, 26 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) kampus induk mengekalkan kejuaraan Kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi Sabah (SUIPTS) 2026 yang berakhir di sini pada Ahad.
Kontinjen UMS kampus induk itu berjaya membawa pulang 29 pingat emas,14 perak dan lima gangsa menjadikan jumlah keseluruhan pungutan pingat sebanyak 47 pingat berbanding 42 pingat pada edisi 2025.
Majlis penutupan kejohanan disempurnakan Timbalan Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dr. Hanafiah Ayub dan turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS Profesor Dr Raman Noordin.
Dr. Hanafiah ketika berucap berkata, pihaknya berharap kejohanan itu dapat menjadi wadah penyatuan, pemupukan disiplin, dan pembentukan integriti tinggi dalam kalangan mahasiswa.
“Harapan kami, semoga momentum kecemerlangan ini diteruskan. Jadikan pengalaman di SUIPTS 2026 ini sebagai batu lonjakan untuk terus bersaing di peringkat yang lebih tinggi, sama ada dalam bidang akademik mahupun sukan.
“Sebuah kejohanan yang hebat tidak akan berdiri tanpa tulang belakang yang kuat. Jutaan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada seluruh ahli Jawatankuasa Penganjur, para sukarelawan, serta semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung.
“Pengorbanan masa, tenaga, dan komitmen luar biasa anda dalam memastikan kelancaran kejohanan ini amat kami hargai,” katanya.
Terdahulu, mengikuti rapat UMS kampus induk adalah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah yang membawa pulang lima emas, enam perak dan 10 gangsa dengan jumlah keseluruhan pungutan pingat sebanyak 21 pingat.
Manakala tempat ketiga dimenangi UMS Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) yang membawa pulang empat emas; dua perak dan lima gangsa menjadikan jumlah keseluruhan pungutan sebanyak 11 pingat.
Kejohanan yang diadakan selama empat hari berakhir pada Ahad itu menyaksikan penyertaan lebih 1,900 atlet dari 23 kontinjen melibatkan Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Sabah. – SABAH MEDIA / FOTO UMS






