Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Hajiji sasar 80 peratus atlet Sabah raih pingat di SUKMA Ke-22

Read Time:2 Minute, 4 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus atlet yang mewakili negeri itu pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 di Selangor berjaya membawa pulang pingat, selain meletakkan sasaran menghampiri 40 pingat emas.

Beliau berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan prestasi memberangsangkan yang ditunjukkan atlet sepanjang tempoh latihan sebagai persediaan menghadapi temasya berkenaan, selain yakin kontinjen Sabah mampu mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Tahun ini kita akan terus beri insentif kepada mereka yang menang. Jika memperoleh pingat emas, mereka akan menerima RM10,000.

“Mudah-mudahan mereka akan buat yang terbaik untuk negeri Sabah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Sabah kepada kontinjen negeri yang akan menyertai SUKMA Ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa.

Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus menghargai kejayaan atlet melalui pemberian insentif, manakala sasaran hampir 40 pingat emas diyakini mampu dicapai berdasarkan prestasi semasa atlet.

“Saya melihat atlet kita begitu bersemangat. Terima kasih kepada Menteri, Pembantu Menteri, jurulatih serta semua pihak yang membimbing mereka.

“Saya amat yakin mereka boleh mencapai sasaran yang ditetapkan, iaitu sekurang-kurangnya menghampiri 40 pingat emas,” katanya.

Mengulas harapan Sabah muncul juara keseluruhan, beliau berharap kontinjen negeri mampu mencipta kejayaan terbaik pada temasya kali ini.

Dalam pada itu, Hajiji mengingatkan semua atlet supaya sentiasa menjaga disiplin serta mengelakkan sebarang salah laku, termasuk membawa atau mengambil barang terlarang yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

“Disiplin amat penting. Kita mungkin berlatih bersungguh-sungguh dan boleh menjadi juara, tetapi jika tiada disiplin, ia boleh menjejaskan masa depan kita.

“Saya harap semua atlet mematuhi nasihat jurulatih, ketua pasukan, menteri, pembantu menteri dan semua pihak yang terlibat,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Hajiji berkata pencapaian kontinjen Sabah pada SUKMA Sarawak 2024 yang meraih 29 pingat emas, 36 pingat perak dan 55 pingat gangsa menjadi asas penting untuk meningkatkan prestasi pada edisi kali ini.

Beliau berkata, bagi Para SUKMA Selangor 2026, Sabah menyasarkan 66 pingat emas dan bertekad kembali muncul juara keseluruhan.

Menurutnya, kontinjen SUKMA Sabah kali ini membabitkan 943 anggota terdiri daripada 744 atlet, 148 jurulatih dan 51 pengurus pasukan, selain akan menyertai 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan.

“Bagi Para SUKMA pula, Sabah akan menghantar kontinjen seramai 271 orang, terdiri daripada 154 atlet, 80 jurulatih dan pegawai serta 37 anggota urus setia,” katanya.

Temasya SUKMA Ke-22 akan berlangsung di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos ini, manakala Para SUKMA dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 11 September depan.

LEAVE A RESPONSE