Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Polis tumpas ‘Gang Andy’, selesai 10 kes curi rim kenderaan

Read Time:1 Minute, 29 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Polis berjaya menumpaskan kumpulan dikenali sebagai “Gang Andy” yang dipercayai aktif mencuri rim kenderaan di sekitar daerah ini menerusi beberapa siri serbuan yang dijalankan pada 30 dan 31 Julai lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu itu membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 38 tahun bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, serbuan pertama dijalankan di Kampung Meruntum, Putatan sebelum polis menahan seorang suspek dan merampas sebuah Perodua Myvi yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah itu.

“Serbuan kedua di sebuah unit Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Keramat, Putatan pula membawa kepada penahanan dua lagi suspek serta rampasan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri rim kenderaan.

“Pada keesokan harinya, polis menahan seorang lagi lelaki di sebuah premis besi buruk di Penampang yang dipercayai bertindak sebagai pembeli rim kenderaan curi,” katanya pada sidang media di sini.

Menurutnya, polis turut merampas 21 unit rim pelbagai jenis kenderaan, enam resit pembayaran serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah termasuk pembuka nat tayar, soket pembuka ‘lock nut’, pemotong besi, pemotong kabel, bicu hidraulik, pemutar skru, playar, allen key dan sarung tangan.

Dalam serbuan berasingan di Lok Kawi, polis turut menemui dua unit rim Perodua Myvi yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan kumpulan berkenaan.

Syed Lot berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM20,000.

“Hasil siasatan berjaya menyelesaikan 10 kes kehilangan rim kenderaan yang dilaporkan di kawasan Tanjung Aru, Luyang, Karamunsing, Menggatal dan Inanam,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan dan semua suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Semakan turut mendapati keempat-empat suspek mempunyai rekod lampau membabitkan pelbagai kes jenayah serta penyalahgunaan dadah.

LEAVE A RESPONSE