PENAMPANG: Polis menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 25 tahun yang disyaki terlibat dalam beberapa kes kecurian motosikal di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, ketiga-tiga suspek ditahan sepasukan polis dalam satu operasi di sekitar daerah Penampang pada Selasa (10 Ogos).
Beliau berkata, dalam operasi berkenaan, polis turut merampas sebuah motosikal dan anak kunci motosikal yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor.
“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta denda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sammy berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan usaha mengesan dan membanteras kegiatan jenayah, khususnya kes kecurian kenderaan di daerah Penampang.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian kecurian kenderaan.
“Pastikan kenderaan dikunci dengan sempurna, gunakan kunci keselamatan tambahan serta letakkan kenderaan di kawasan yang terang dan selamat.
“Masyarakat juga diseru supaya sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling dan segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan individu, kenderaan atau sebarang aktiviti yang mencurigakan,” katanya.






