Read Time:1 Minute, 32 Second
TENOM: Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin menegaskan pendirian tegas beliau bahawa sebarang bentuk buli melibatkan murid tidak boleh dikompromi dan perlu ditangani dengan serius bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan pelajar sentiasa terpelihara.
Beliau berkata demikian susulan kejadian buli yang tular membabitkan seorang murid di sebuah sekolah rendah di daerah itu baru-baru ini.
Menurutnya, beliau telah mendapatkan pengesahan dan maklumat lanjut daripada pihak sekolah sebaik sahaja dimaklumkan mengenai insiden berkenaan.
“Kes ini kini berada dalam siasatan pihak polis dan saya berharap semua pihak dapat memberi kerjasama sepenuhnya serta memberi ruang kepada pihak polis dan pihak sekolah untuk menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh.
“Biarlah proses siasatan berjalan dengan baik agar semua fakta dapat diperoleh dan keadilan dapat ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Riduan berkata, meskipun sedang menghadiri Persidangan Parlimen di Dewan Rakyat, beliau telah mengarahkan pegawai di Pejabat Parlimen Tenom untuk menghubungi keluarga mangsa bagi mendapatkan perkembangan terkini serta menyalurkan bantuan yang diperlukan.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan keluarga mangsa mendapat sokongan moral dan kebajikan sepanjang tempoh siasatan dijalankan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa isu buli bukan sahaja menjadi tanggungjawab pihak sekolah, malah memerlukan penglibatan aktif ibu bapa, penjaga dan masyarakat dalam usaha mencegah kejadian seumpamanya daripada berulang.
Beliau menyeru ibu bapa supaya sentiasa memantau tingkah laku anak-anak serta mendidik mereka dengan nilai murni, termasuk menghormati orang lain dan menolak sebarang bentuk keganasan atau intimidasi.
“Semua pihak perlu berganding bahu dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat, harmoni dan kondusif untuk perkembangan anak-anak kita.
“Saya berharap kejadian ini menjadi pengajaran kepada semua pihak dan merupakan kes terakhir yang berlaku, bukan sahaja di Tenom tetapi juga di seluruh negara,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid mesti sentiasa menjadi keutamaan demi memastikan institusi pendidikan kekal sebagai tempat yang selamat untuk proses pembelajaran dan pembangunan sahsiah generasi muda.






