Read Time:1 Minute, 51 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Pasukan Sofbol Wanita Sabah meletakkan sasaran untuk berada di podium sebagai strategi utama bagi memburu kejayaan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor Ogos ini.
Presiden Livoc Eagle Softball Club Idham Shukri Ishak berkata, pendekatan tersebut memberi fokus kepada pembangunan menyeluruh pasukan merangkumi aspek latihan, pemilihan pemain serta sokongan logistik.
Beliau berkata, ia adalah bagi memastikan pasukan berada pada tahap terbaik menjelang temasya.

“Sudah tentu fokus utama kita adalah untuk berada di podium, apa sahaja warna pingat. Yang penting pasukan mampu memberi saingan dan mencipta kejayaan untuk Sabah.
“Dari segi persiapan pasukan kini berjalan lancar dengan pelaksanaan latihan pusat yang bermula 13 April lalu dan akan berakhir pada 22 April ini.
“Latihan pusat ini melibatkan dua fasa, bermula di Kompleks Sukan Padang B sebelum diteruskan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut yang menyediakan kemudahan lebih lengkap termasuk asrama dan padang latihan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media penyampaian tajaan dana dan kelengkapan jersi latihan daripada Guardiana Sport & Academy di pejabat Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah di sini pada Jumaat.
Hadir sama pada majlis itu Ketua Penolong Pengarah MSN Sabah Heirwan Shah Masari dan wakil Guardiana Sport & Academy Syed Redzal Hisham Syed Abdul Hamid.
Idham berkata, seramai 24 atlet telah disenaraikan dalam skuad long list yang terdiri daripada pemain berusia antara 15 hingga 20 tahun, melibatkan bakat dari seluruh Sabah termasuk pemain yang kini menetap di Semenanjung.
Katanya, pemilihan atlet dilakukan secara teliti melalui tiga sesi pemilihan termasuk satu di Semenanjung, sekali gus membuka peluang kepada bakat anak Sabah di luar negeri untuk kembali menyumbang kepada pasukan negeri.
“Ini memberi kelebihan kepada pasukan kerana kita dapat menggabungkan bakat tempatan dengan pemain yang mempunyai pendedahan luar,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau mengakui perjalanan pasukan tidak mudah selepas berdepan cabaran pembatalan persatuan pada 2023, namun semangat untuk bangkit menjadi pemangkin utama dalam membina semula kekuatan pasukan.
Katanya, kebenaran khas yang diperoleh membolehkan Sabah kembali menghantar pasukan dengan perancangan lebih rapi dan tersusun.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak korporat khususnya Guardian Sports and Academy atas sokongan tajaan yang banyak membantu melancarkan persiapan pasukan.
“Sumbangan ini amat bermakna dan menjadi antara faktor penting dalam menjayakan pelan ‘Road to Podium’ kami,” katanya. – SABAH MEDIA






