Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

SPR akan laksana kajian persempadanan bahagian pilihan raya tertakluk pindaan Perlembagaan Persekutuan

BERNAMA

PUTRAJAYA :  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan kajian semula persempadan bahagian-bahagian pilihan raya tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan, kata Pengerusinya Datuk Seri Ramlan Harun.

Beliau berkata SPR mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak pada Jumaat lepas.

Penambahan kerusi Parlimen itu kelak turut mengambil kira Bahagian Pilihan Raya Tanah Melayu dengan prinsip bahawa nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak turut ditingkatkan daripada kedudukan semasa.

“Dalam konteks persempadanan Bahagian Pilihan Raya di ketiga-tiga unit kajian itu pula, SPR akan melaksanakan kajian semula persempadan bahagian-bahagian pilihan raya tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata SPR akan memberikan penjelasan lanjut apabila terdapat keputusan rasmi serta perkembangan yang membolehkan perkara itu dimaklumkan kepada umum.

Sebelum ini, Perdana Menteri berkata kerajaan bersetuju meningkatkan nisbah perwakilan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak melebihi kadar semasa, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Anwar berkata keputusan itu turut melibatkan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan peningkatan penyertaan Ahli Parlimen dari kedua-dua negeri berkenaan. BERNAMA

LEAVE A RESPONSE