Read Time:2 Minute, 18 Second
KOTA KINABALU: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (SEDCO) memperuntukkan 10 peratus daripada keuntungan tahunannya bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan dan pembiayaan keusahawanan di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ewon Benedick berkata, komitmen itu membuktikan kesungguhan SEDCO dalam membantu memperkukuh ekosistem keusahawanan serta meningkatkan daya saing usahawan tempatan.
Beliau berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Program RISE (Resilient, Innovative SEDCO Entrepreneurs) yang memberi bimbingan perniagaan kepada usahawan, serta S-SEED (Strategic Entrepreneur Development Fund) yang menyediakan pembiayaan keusahawanan.
“Saya menghargai inisiatif RISE yang merupakan program bimbingan perniagaan (business coaching program) serta S-SEED yang merupakan program pembiayaan keusahawanan.
“SEDCO memperuntukkan 10 peratus daripada keuntungan tahunannya bagi pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program RISE dan S-SEED di sini, semalam.
Menurut Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah , pelaksanaan kedua-dua program itu penting dalam memastikan usahawan Sabah mendapat akses kepada bimbingan serta sokongan kewangan yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan juga selari dengan usaha Kerajaan Sabah melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) untuk memperkukuh pembangunan usahawan serta perusahaan kecil dan sederhana (SME) tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ewon berkata MINDET turut merancang untuk memperkenalkan program latihan keusahawanan yang lebih bersesuaian dengan keperluan dan cabaran yang dihadapi usahawan masa kini.
Katanya, kerajaan negeri mahu memastikan program pembangunan keusahawanan bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan, malah mampu meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan keupayaan usahawan untuk mengembangkan perniagaan.
Ewon turut berharap 30 usahawan yang dipilih menyertai Program RISE dan S-SEED dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan untuk menghasilkan produk yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.
“Saya berharap 30 usahawan yang terpilih untuk menyertai Program RISE dan S-SEED ini dapat membangunkan produk untuk pasaran dunia, termasuk memiliki pensijilan halal serta pendaftaran dengan DIDR dan MATRADE,” katanya.
Beliau berkata, usaha melahirkan usahawan yang berorientasikan pasaran global penting bagi meningkatkan daya saing produk tempatan selain membuka peluang kepada perusahaan Sabah untuk berkembang ke pasaran luar negara.
Menurutnya, sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memainkan peranan besar dalam ekonomi negara berdasarkan data pencapaian PMKS bagi 2025.
Katanya, sektor itu menyumbang 39.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, bersamaan RM689.8 bilion, selain menggaji kira-kira lapan juta pekerja atau 48.7 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara.
Ewon berkata, usahawan Sabah turut menyumbang kepada prestasi sektor PMKS negara dan perlu terus diberi sokongan bagi meningkatkan kapasiti serta daya saing mereka.
Sementara itu, beliau turut berkongsi beberapa inisiatif kerajaan negeri melalui MINDET, termasuk penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera Sabah serta pembangunan polisi sokongan khas kepada SME tempatan yang mahu mengembangkan perusahaan mereka di taman-taman perindustrian, bermula di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP).
Hadir sama Pengerusi SEDCO, Datuk Masiung Banah dan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk Ar. James Wong Kein Peng.






