Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

MUZAKARAH 2026 platform perkukuh ekosistem kewangan Islam serantau

Read Time:1 Minute, 56 Second

KOTA KINABALU : Penganjuran Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara 2026 (MUZAKARAH 2026) yang dijayakan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama INCEIF University mendapat pengiktirafan Kerajaan Negeri Sabah sebagai platform strategik dalam memperkukuh pembangunan ekosistem kewangan Islam serta memperluas jaringan kerjasama antara kerajaan, universiti dan industri.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama Negeri Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, penganjuran muzakarah yang memasuki edisi ke-20 itu membuktikan komitmen berterusan universiti dan institusi berkaitan dalam memperkukuh wacana ilmu serta pembangunan industri kewangan Islam di Malaysia dan rantau Nusantara.

Katanya, pemilihan Sabah sebagai tuan rumah persidangan bukan sahaja mengangkat Sabah sebagai medan pertemuan para ilmuwan, penggubal dasar, pengawal selia dan pengamal industri, malah membuka ruang kepada pertukaran ilmu, pembinaan jaringan kerjasama serta penerokaan peluang baharu yang memberi manfaat kepada pembangunan negeri dan negara.

“Menerusi kejayaan penganjuran muzakarah ini, diharapkan lebih banyak program akademik dan profesional bertaraf antarabangsa akan terus dianjurkan di Sabah bagi memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi ilmu dan pusat pertemuan pakar daripada pelbagai bidang.

“Kerajaan Negeri Sabah komited memperkukuh pembangunan modal insan melalui pendidikan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat, termasuk dalam bidang kewangan Islam.

“Kami percaya pembangunan industri kewangan Islam memerlukan ekosistem yang menyeluruh, merangkumi institusi pendidikan yang berkualiti, penyelidikan yang relevan, pembangunan bakat yang berterusan serta kerjasama pelbagai pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis makan malam muzakarah tersebut, di sini.

Arifin menambah, Sabah mempunyai potensi besar untuk terus membangunkan ekosistem kewangan Islam berikutan kekuatan sektor agromakanan, sumber asli dan faktor majoriti penduduk beragama Islam.

“Instrumen kewangan Islam seperti pembiayaan mikro, zakat, wakaf dan kewangan sosial Islam mampu memperkasa usahawan, meningkatkan kesejahteraan komuniti serta menyokong pembangunan sosioekonomi negeri.

“Program Asnafpreneur Sabah Bank Rakyat – UMS 2.0 umpamanya menjadi platform strategik dalam merapatkan jurang akses kepada modal, ilmu keusahawanan, teknologi dan pasaran dalam kalangan usahawan asnaf di Sabah,” katanya.

Ujar beliau, MUZAKARAH 2026 diharap mampu mencapai objektif dalam melahirkan idea baharu, memperkukuh kerjasama antara institusi serta menyumbang kepada pembangunan industri kewangan Islam yang mampan.

Turut hadir pada majlis berkenaan Mufti Negeri Sabah; Sahibus Samahah Datuk Dr. Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah; Dato’ Syeikh Zakaria Othman; Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF University; Professor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Azmi Omar; dan Dekan Fakulti Pengajian Islam UMS, Prof. Dr. Muhamad Suhaimi Taat.

LEAVE A RESPONSE