Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sabah cipta hatrik juara keseluruhan Olahraga MSSM

Read Time:1 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU: Kontinjen Sabah muncul juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2026 di Pahang sekali gus mempertahankan kejuaraan berkenaan untuk tahun ketiga berturut-turut.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kejayaan itu membuktikan keupayaan atlet muda Sabah untuk terus bersaing di peringkat kebangsaan.

Beliau berkata, kontinjen Sabah mengumpul 25 pingat emas, 13 perak dan 13 gangsa, menjadikan keseluruhan 51 pingat.

“Sabah sekali lagi mengharumkan nama negeri apabila muncul Juara Keseluruhan Olahraga MSSM 2026, sekali gus mempertahankan kejuaraan buat tiga tahun berturut-turut selepas kejayaan pada 2024 dan 2025,” katanya.

Menurutnya, pencapaian itu adalah hasil usaha dan komitmen pelbagai pihak termasuk atlet, jurulatih, guru serta ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan kepada pembangunan bakat muda dalam bidang olahraga.

Nizam turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), urus setia Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) Sabah, jurulatih, guru dan semua pihak yang terlibat dalam mempersiapkan kontinjen olahraga negeri.

Katanya, kejayaan itu tidak hanya bergantung kepada prestasi atlet ketika pertandingan, sebaliknya merupakan hasil proses latihan, bimbingan dan sokongan yang berterusan.

“Paling utama, syabas dan tahniah kepada anak-anak atlet Sabah. Kalian telah membuktikan bahawa bakat muda Sabah mampu bersaing dan menjadi yang terbaik di pentas kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian dalam Olahraga MSSM 2026 turut memberi keyakinan bahawa pembangunan sukan di peringkat sekolah di Sabah berada pada landasan yang baik.

Sehubungan itu, katanya, usaha selepas ini perlu terus diperkukuh menerusi pencarian bakat, peningkatan kejurulatihan, penyediaan kemudahan serta laluan pembangunan atlet yang lebih tersusun.

“Lebih ramai anak Sabah perlu diberikan peluang untuk melangkah dari pentas sekolah ke peringkat kebangsaan dan seterusnya antarabangsa,” katanya.

Nizam berkata, kejayaan mempertahankan kejuaraan selama tiga tahun berturut-turut juga wajar dijadikan pemangkin untuk terus memperkukuh pembangunan olahraga di negeri ini.

Beliau berharap pencapaian kontinjen Sabah pada MSSM 2026 dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk menceburi bidang sukan serta berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

LEAVE A RESPONSE