Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

130 PATI ditahan dalam operasi penguatkuasaan JIM Sabah di lima daerah

Read Time:1 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 130 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi siri operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di lima daerah di negeri ini sebagai usaha berterusan membanteras kehadiran warga asing yang melanggar undang-undang imigresen.

Operasi yang dijalankan di Kota Kinabalu, Keningau, Sandakan, Lahad Datu dan Semporna itu membabitkan pelaksanaan beberapa operasi khas iaitu Ops Kutip, Ops Selera, Ops Sapu, Ops Gegar, Ops Mahir dan Ops Jaja.

JIM Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, sepanjang operasi berkenaan, seramai 541 individu telah diperiksa, dengan 130 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan serta melanggar syarat pas yang dikeluarkan oleh JIM.

“Daripada jumlah keseluruhan tangkapan, daerah Lahad Datu merekodkan jumlah tertinggi dengan 33 tangkapan, diikuti Kota Kinabalu (32), Keningau (26), Sandakan (24) dan Semporna (15).

“Tangkapan melibatkan warga asing daripada beberapa negara termasuk Filipina, Indonesia, Pakistan, India dan China,” menurut kenyataan itu di sini.

JIM Sabah memaklumkan semua warga asing yang ditahan telah dibawa ke depoh imigresen untuk tujuan dokumentasi, siasatan lanjut dan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Menurut jabatan itu, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi mengesan, menahan dan mengambil tindakan terhadap pendatang asing tanpa izin serta individu yang melakukan pelanggaran undang-undang imigresen.

“JIM Negeri Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dalam usaha membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara sentiasa dipelihara,” menurut kenyataan itu lagi

JIM Sabah turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang imigresen dan akan terus memperkukuhkan penguatkuasaan menerusi operasi bersepadu serta pemeriksaan secara berterusan di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan warga asing.

Usaha berkenaan, menurut jabatan itu, merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan undang-undang negara terus terpelihara.

LEAVE A RESPONSE