Read Time:1 Minute, 54 Second
KOTA KINABALU : Penganjuran Regatta Lepa edisi ke-31 di Semporna tahun ini dijangka menarik kira-kira 50,000 pengunjung sepanjang penganjuran selama tiga hari bermula 26 Jun ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, acara itu bukan sekadar perayaan tahunan, sebaliknya menjadi medan penting dalam memelihara warisan masyarakat Bajau Semporna yang terkenal dengan kehidupan maritimnya.
Beliau berkata, Regatta Lepa turut menjadi peluang untuk memperkenalkan keunikan budaya, seni tradisional dan identiti masyarakat Bajau kepada pelancong tempatan serta antarabangsa.
“Regatta Lepa adalah antara acara kebudayaan yang paling ikonik di Sabah. Ia bukan sahaja mengekalkan warisan budaya, malah membantu memperkukuhkan industri pelancongan negeri.
“Semporna sendiri kini menjadi antara lokasi tumpuan pelancong dan penganjuran acara seperti ini mampu memberi manfaat kepada komuniti serta pemain industri pelancongan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Regatta Lepa ke-31 di sini pada Isnin.
Jafry berkata, pelbagai aktiviti telah dirangka sepanjang acara itu termasuk pameran lepa berhias, pertandingan perahu tradisional, sukan laut, program kebudayaan dan aktiviti komuniti.
Katanya, majlis perasmian Regatta Lepa dijadualkan berlangsung pada 26 Jun dan dijangka disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan penutupan dijangka disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.
Sementara itu, Jafry berkata, antara pengisian utama Regatta Lepa termasuk aktiviti sukan laut pada 27 Jun, pertandingan Ratu Lepa serta Larian Lepa dan Lepa Golf pada 28 Jun.
Beliau berkata, pertandingan Ratu Lepa yang menjadi acara wajib setiap tahun turut mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 30 penyertaan diterima.
“Pendaftaran Ratu Lepa bermula pada 21 Jun dan penyertaan bukan sahaja daripada Semporna, malah turut melibatkan peserta dari luar daerah,” katanya.
Dalam pada itu, Jafry turut memberi jaminan aspek keselamatan dan kebersihan menjadi keutamaan bagi memastikan kelancaran penganjuran acara berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan negeri melalui agensi berkaitan sentiasa mengambil langkah memastikan kawasan pelancongan di Semporna berada dalam keadaan baik termasuk meningkatkan pemantauan keselamatan dan kebersihan.
Katanya, usaha pembersihan yang dilaksanakan turut melibatkan masyarakat setempat bagi mewujudkan kesedaran bersama mengenai kepentingan menjaga imej destinasi pelancongan.
“Kita mahu memastikan Semporna terus menjadi destinasi yang selesa, bersih dan selamat untuk dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.
Regatta Lepa merupakan acara tahunan yang telah berlangsung selama 31 tahun dan kekal sebagai simbol warisan budaya masyarakat Bajau serta antara platform utama mempromosikan pelancongan Sabah.






