Read Time:1 Minute, 43 Second
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah yang mempunyai pendapatan tahunan di bawah RM50,000 layak mendapatkan bantuan guaman percuma menerusi Jabatan Bantuan Guaman (JBG) bagi menangani pelbagai permasalahan perundangan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Ts. Mustapha Sakmud berkata, masih ramai rakyat, khususnya di kawasan pedalaman dan kampung, tidak mengetahui kewujudan perkhidmatan berkenaan sehingga menyebabkan mereka berdepan masalah perundangan tanpa mendapatkan pembelaan sewajarnya.
Katanya, di Sabah sahaja, JBG sudah mengendalikan sebanyak 315 kes sivil dan 161 kes syariah bagi membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan akses kepada keadilan.
“Warganegara yang berpendapatan di bawah RM50,000 setahun boleh memohon bantuan ini dan kita sememangnya menyediakan panel yang layak untuk mengendalikan kes berkenaan.

“Saya meminta semua pemimpin masyarakat supaya bersama-sama menyebarluaskan maklumat ini di kampung masing-masing bagi memastikan akses kepada keadilan dan perlindungan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Wacana JBG #YangJauhDidekati,YangSulitDisantuni Peringkat Negeri Sabah di Wisma Wanita Sabah, di sini, pada Khamis.
Menurutnya, antara kes yang boleh mendapatkan bantuan JBG termasuk tuntutan nafkah, perceraian, harta pusaka kecil, kemalangan jalan raya, sewa beli, penyewaan dan tuntutan pengguna.
Selain itu, perkhidmatan berkenaan turut merangkumi kategori pendamping serta kes jenayah membabitkan kanak-kanak.
Mustapha berkata, tahap celik undang-undang juga perlu diberikan perhatian secara berterusan kerana ia penting dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat.
Katanya, celik undang-undang merujuk kepada pengetahuan asas seseorang mengenai hak yang dilindungi undang-undang, tanggungjawab yang perlu dipatuhi serta saluran yang boleh dirujuk apabila berdepan permasalahan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Kerajaan MADANI memperuntukkan RM42.3 juta kepada JBG bagi 2026, termasuk RM1.29 juta untuk merealisasikan penubuhan Pusat Mediasi MADANI (PMM).
Kerajaan turut menyumbangkan dua kenderaan ‘Justice on Wheels’ yang berjaya melaksanakan 84 program bagi mendekati masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman Sabah.
Beliau berharap rakyat Sabah bukan sahaja mencapai kemajuan dari aspek pembangunan fizikal dan ekonomi, malah memiliki pengetahuan perundangan yang membolehkan mereka membuat keputusan secara bermaklumat serta menjalani kehidupan dengan lebih yakin.
Seramai 150 peserta menyertai Wacana Bantuan Guaman, Pembelaan Awam dan Pusat Mediasi MADANI yang diadakan sempena program berkenaan.





