Read Time:1 Minute, 36 Second
KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) digesa mengambil tindakan lebih tegas bagi menyelesaikan masalah bekalan air dan elektrik serta kemudahan jalan raya yang sekian lama membelenggu penduduk luar bandar di Sipitang.
Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata, kelewatan pelaksanaan projek infrastruktur asas di kawasan itu menyebabkan ribuan penduduk terus berdepan kesukaran meskipun pelbagai isu berkenaan sudah dibangkitkan berulang kali sejak hampir empat tahun lalu.
Katanya, antara perkara yang memerlukan perhatian segera ialah projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) membabitkan Kampung Usuk, Sungai Lukutan dan Pepolor-Sungai Tiga yang masih belum dilaksanakan.
Beliau berkata, kelewatan projek itu menyebabkan kira-kira 7,319 penduduk daripada 1,219 rumah di 21 kampung masih belum menikmati bekalan air bersih yang sempurna.
“Jawapan bertulis kementerian bertarikh 6 November 2024 menyatakan projek ini berada pada peringkat pelantikan perunding utama, namun sehingga sekarang masih belum dilaksanakan.
“Kita mahu mengetahui status terkini projek, peruntukan disediakan, halangan pelaksanaan dan bilakah penduduk boleh menikmati bekalan air bersih,” katanya.
Ketika membahaskan peringkat jawatankuasa KKDW di Dewan Rakyat, semalam, Matbali turut membangkitkan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) menggunakan Sistem Solar Hibrid (SSH) yang dilaporkan terbengkalai sejak 2019.
Projek membabitkan tujuh kampung, iaitu Long Pasia, Long Mio, Ulu Bole, Iburu, Mengayam, Rundulang dan Meligan itu dianggarkan memberi manfaat kepada 2,875 pengguna.
Katanya, walaupun sembilan kali Lanjutan Masa (EOT) diberikan, projek berkenaan masih belum disiapkan sehingga penduduk terpaksa bergantung kepada lampu solar dan generator sebagai sumber tenaga alternatif.
Beliau turut meminta kementerian menyiasat punca kelewatan serta kemungkinan berlaku ketirisan dalam pelaksanaan projek berkenaan.
Dalam pada itu, Matbali menyambut baik perkembangan projek menaik taraf Jalan Meligan-Long Pasia sepanjang 42 kilometer yang sudah dimohon di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beliau turut menghargai jaminan KKDW bahawa projek menaik taraf Jalan Kampung Bamban-Mendulong-Meligan kini melalui proses tender kali ketiga di Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, selain perincian berkaitan Jalan Mentulud 1 dan Jalan Mentulud 2.





