Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Industri perpaipan penting jamin kualiti hidup rakyat – Joachim


Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: Industri perpaipan di negeri ini terus menunjukkan perkembangan positif hasil kerjasama erat antara pihak kerajaan dan pemain industri, khususnya melalui peranan aktif Sabah Plumber Association dalam memperkukuh standard profesional dan kompetensi teknikal dalam sektor berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata, industri perpaipan merupakan sektor yang amat penting walaupun sering beroperasi di sebalik tabir.

“Peranan industri ini amat signifikan dalam memastikan bekalan air yang selamat dan sistem saliran yang cekap, sekali gus menyumbang kepada aspek kesihatan awam, keselamatan serta kualiti hidup masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Makan Malam anjuran persatuan tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, di sini.

Joachim yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti berkata , industri perpaipan merupakan salah satu asas penting dalam pembangunan moden. 

“Tanpa sistem yang baik dan efisien, pembangunan tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna,” katanya.

Joachim turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan dan ahli Sabah Plumber Association atas usaha berterusan dalam memajukan industri, memperkukuh perpaduan dalam kalangan ahli serta memastikan pematuhan terhadap standard profesional yang tinggi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus menyokong pembangunan sektor infrastruktur termasuk industri berkaitan seperti perpaipan.

“Kerajaan akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan setiap pembangunan dilaksanakan dengan menitikberatkan aspek kualiti, keselamatan dan kelestarian,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, antara fokus utama kerajaan termasuklah memperkasa pembangunan modal insan dan kemahiran teknikal, meningkatkan piawaian kualiti serta amalan keselamatan, selain menggalakkan penggunaan teknologi moden dan amalan kejuruteraan terbaik dalam industri.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru semua pemain industri agar terus meningkatkan tahap profesionalisme serta mengekalkan rasa tanggungjawab yang tinggi dalam melaksanakan tugas masing-masing.

Majlis tersebut turut menjadi platform untuk menghargai sumbangan dan dedikasi semua pihak yang terlibat dalam industri perpaipan di Sabah, selain mengukuhkan hubungan antara ahli serta memperkasa hala tuju industri pada masa hadapan.

Beliau yakin, di bawah kepimpinan Persatuan Tukang Paip Sabah, industri perpaipan di negeri ini akan terus berkembang dan mencapai tahap yang lebih tinggi sejajar dengan aspirasi pembangunan Sabah.

LEAVE A RESPONSE