Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

PPNS sambut baik kenaikan bayaran interim Sabah kepada RM1.5 bilion

Read Time:1 Minute, 57 Second

KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai peningkatan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sementara pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada negeri itu dimuktamadkan.

Pengerusi PPNS, Datuk Mohd Nazri Abdullah, berkata pengumuman berkenaan membuktikan kesungguhan dan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus diberi perhatian serta dilaksanakan secara berperingkat dan bertanggungjawab.

Menurutnya, komuniti peladang, penternak dan nelayan di seluruh Sabah menyambut baik keputusan itu kerana ia memberi keyakinan bahawa kerajaan Persekutuan sentiasa mendengar aspirasi rakyat negeri ini dan komited memperkukuh kedudukan fiskal Sabah demi kesejahteraan rakyat.

“Mewakili komuniti peladang, penternak dan nelayan, saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan dan keberanian membuat keputusan yang memberi manfaat besar kepada Sabah.

“Pengumuman ini bukan sahaja mencerminkan komitmen kerajaan Persekutuan terhadap pelaksanaan MA63, malah membuktikan pembangunan Sabah terus menjadi agenda penting dalam kerangka Malaysia MADANI,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nazri berkata, tambahan dana berkenaan dijangka membantu kerajaan negeri memperkukuh pelaksanaan pelbagai program pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya dalam sektor pertanian, penternakan, perikanan, infrastruktur luar bandar, bekalan air, jalan raya dan kemudahan asas.

Beliau berkata, sektor agromakanan merupakan antara pemacu utama ekonomi Sabah yang memerlukan sokongan berterusan bagi meningkatkan pengeluaran makanan, memperkasa usahawan tani, menjamin keselamatan makanan serta meningkatkan pendapatan komuniti luar bandar.

“Kami berharap peruntukan tambahan yang diterima Sabah akan membuka lebih banyak ruang kepada pembangunan sektor pertanian dan agromakanan, termasuk peningkatan kemudahan pengairan, infrastruktur pertanian, bantuan teknologi moden, latihan serta program peningkatan produktiviti kepada peladang, penternak dan nelayan.

“Langkah ini penting bagi memastikan sektor agromakanan negeri terus berkembang dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta jaminan bekalan makanan negara,” katanya.

Mohd Nazri turut menyifatkan kenyataan Perdana Menteri bahawa pelaksanaan hak 40 peratus kepada Sabah adalah dasar yang mesti dilaksanakan sebagai jaminan penting yang memberi keyakinan kepada rakyat negeri ini.

Beliau berkata, komuniti peladang, penternak dan nelayan Sabah akan terus menyokong usaha kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam memperkukuh kerjasama strategik demi memastikan pembangunan yang lebih seimbang, inklusif dan mampan dapat dinikmati seluruh rakyat.

“Pengumuman ini memberi mesej jelas bahawa Sabah terus mendapat perhatian sewajarnya dalam agenda pembangunan negara.

“Kami berharap rundingan mengenai pelaksanaan penuh hak 40 peratus dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat demi manfaat jangka panjang rakyat dan negeri Sabah,” katanya.

LEAVE A RESPONSE