Read Time:1 Minute, 47 Second
KOTA KINABALU: Hungary dan Sabah berpotensi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan pertanian mampan, pemindahan teknologi, penyelidikan serta inovasi, termasuk memanfaatkan sisa pertanian untuk pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
Duta Hungary ke Malaysia, Dr. Sándor Sipos berkata, peningkatan jumlah sisa pertanian di seluruh dunia menjadikan pengurusan dan penggunaan sumber secara berkesan sebagai cabaran global yang memerlukan penyelesaian bersama.
Menurut beliau, kerjasama dalam bidang penyelidikan dan perkongsian teknologi mampu menukar sisa pertanian kepada tenaga hijau, sekali gus mengurangkan kesan terhadap alam sekitar serta mewujudkan nilai ekonomi baharu.
Beliau berkata demikian sempena lawatan rasmi ke Sabah yang turut menyaksikan kunjungan hormat beliau kepada Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, hari ini.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pelbagai isu berkepentingan bersama, termasuk hubungan dua hala, pembangunan pertanian dan agenda kelestarian.
Mereka turut meneliti hubungan sejarah dan budaya yang telah lama terjalin antara Hungary dan Sabah, sambil menyifatkan persahabatan antara rakyat kedua-dua wilayah sebagai asas kukuh kepada kerjasama yang lebih erat pada masa depan.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha pemodenan sektor pertanian, pembangunan mampan dan ekonomi hijau, dengan kedua-dua pihak bersetuju bahawa pemindahan teknologi dalam pengeluaran tenaga mampan dan boleh diperbaharui perlu diperkasakan.
Dr. Sándor berkata, Hungary mempunyai pengalaman luas dalam teknologi pertanian, pengurusan sisa, tenaga biojisim dan teknologi tenaga hijau yang boleh dimanfaatkan melalui kerjasama strategik dengan Sabah.
Beliau berharap kedua-dua pihak dapat meneroka penyelesaian praktikal bagi menukarkan sisa pertanian kepada tenaga boleh diperbaharui, sekali gus menyokong usaha transformasi hijau dan pencapaian matlamat pembangunan mampan.
Katanya, pengukuhan kerjasama dua hala bukan sahaja dapat meningkatkan pertukaran teknologi dan pengetahuan, malah memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi, perlindungan alam sekitar serta keselamatan makanan.
Selain isu pertanian, kedua-dua pihak turut membincangkan pengurusan dan pemanfaatan sisa pertanian serta sisa domestik, di samping meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
Dalam perkembangan lain, Dr. Sándor memaklumkan Kerajaan Hungary menawarkan 40 biasiswa kepada Malaysia setiap tahun dan berharap lebih ramai pelajar dari Sabah serta Sarawak memanfaatkan peluang melanjutkan pengajian tinggi di negara itu.
Menurutnya, penyertaan lebih ramai pelajar dari Malaysia Timur akan membantu memperkukuh hubungan dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan antara kedua-dua pihak.






