Read Time:1 Minute, 21 Second
KOTA KINABALU: Sabah Development Bank Berhad (SDB) mengakui dan memahami kebimbangan pembeli PacifiCity serta kekal menyokong usaha mencari penyelesaian yang berdaya maju bagi projek yang telah lama terbengkalai itu.
Menerusi satu kenyataan hari ini, SDB berkata pihaknya merupakan pembiaya projek berkenaan dan sehingga kini, kira-kira RM300 juta masih tertunggak.
Walaupun tanah projek dicagarkan kepada SDB sebagai jaminan, bank itu bukan pemilik berdaftar tanah berkenaan kerana ia dimiliki oleh MAKSAK.
SDB turut menjelaskan bahawa pada 31 Julai 2025, Mahkamah Tinggi menolak tuntutan yang dikemukakan terhadap SDB dan memutuskan bahawa bank itu hanyalah pembiaya projek berkenaan.
Mahkamah mendapati tanggungjawab terhadap kerugian yang ditanggung pembeli terletak pada pihak pemaju, yang kemudiannya telah digulungkan.
Susulan penggulungan pemaju, projek berkenaan berada di bawah pentadbiran pelikuidasi yang dilantik mahkamah dan kini diuruskan oleh pelikuidasi swasta.
Sejak dilantik, pelikuidasi swasta berkenaan telah mengadakan perbincangan dengan pembeli dan agensi kerajaan berkaitan, selain menjalankan beberapa proses tender bagi mengenal pasti pelabur berpotensi atau “white knight” untuk menghidupkan semula projek berkenaan.
Bagaimanapun, sehingga kini, tiada pelabur mengemukakan cadangan muktamad untuk menghidupkan semula projek itu.
Cabaran utama kekal pada keperluan modal yang besar bagi memulihkan pembangunan berkenaan.
Walaupun mempunyai jumlah hutang tertunggak yang signifikan, SDB berkata pihaknya bersedia mempertimbangkan pengurangan ketara terhadap pendedahan kewangannya bagi menyokong pelan penyelamatan yang berdaya maju dan menarik pelabur berpotensi.
Namun, sehingga kini, tiada cadangan rasmi dikemukakan untuk pertimbangan SDB.
SDB kekal komited untuk bekerjasama dengan pelikuidasi swasta, pihak berkuasa berkaitan, pembeli dan pihak berkepentingan lain bagi meneroka penyelesaian praktikal.
Kejayaan menghidupkan semula projek PacifiCity akhirnya bergantung kepada kemampuan mendapatkan pelabur yang mempunyai kekuatan kewangan serta bersedia menyediakan pelaburan besar yang diperlukan bagi menyiapkan projek berkenaan.






