Read Time:2 Minute, 48 Second
SEMPORNA: Pembangunan Sabah tidak seharusnya hanya tertumpu di Kota Kinabalu atau bandar-bandar besar, sebaliknya perlu dipergiat di setiap daerah mengikut keperluan dan kekuatan masing-masing bagi membuka lebih banyak ruang untuk berkembang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pembangunan komersial di Jalan Bubul perlu dilihat sebagai sebahagian daripada perjalanan pembangunan Sabah dan bukan sekadar sebuah projek komersial.
Menurut beliau, Semporna mempunyai keistimewaan tersendiri dan namanya sudah berada di pentas dunia menerusi keindahan pulau, kejernihan air laut serta tarikan pelancongan, khususnya aktiviti menyelam.
“Semporna mempunyai aset semula jadi yang sangat bernilai. Namun, untuk memastikan potensi tersebut dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang lebih besar kepada rakyat, kita memerlukan pembangunan yang saling melengkapi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran 106 Unit Kedai Dua Tingkat Fasa 1 dan Pecah Tanah Projek Komersial Fasa 2 dan 3 Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah di Jalan Bubul, di sini, hari ini.
Hajiji berkata sektor pelancongan perlu berkembang seiring dengan perniagaan tempatan bagi mewujudkan lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan, selain membuka peluang pekerjaan kepada anak muda Semporna.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan masyarakat tempatan turut menikmati manfaat daripada pertumbuhan ekonomi yang berlaku di daerah berkenaan.
Menurutnya, kedudukan strategik kawasan komersial Jalan Bubul di sepanjang laluan utama Balung–Semporna memberikan potensi besar untuk kawasan itu berkembang sebagai salah satu pusat perdagangan dan perniagaan baharu.
“Saya percaya, jika dirancang dan dilaksanakan dengan baik, kawasan ini boleh menjadi salah satu pemangkin kepada perkembangan ekonomi di sekitar Semporna,” katanya.
Hajiji berkata kawasan pembangunan berkenaan turut mempunyai kelebihan kerana terdapat sungai dan lokasinya berhampiran laut.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada Ampe (Semporna) Sdn. Bhd. supaya turut mempertimbangkan pembinaan sebuah jeti di kawasan berkenaan.
Katanya, kewujudan jeti yang sesuai dan menarik bukan sahaja dapat memberikan nilai tambah kepada kawasan komersial itu, malah membolehkan orang ramai menikmati pemandangan sungai dan laut, bersantai, menyaksikan matahari terbenam serta mengambil gambar.
“Kita ingin manfaatkan keindahan yang Allah sudah berikan kepada Semporna ini sebaik-baiknya,” katanya.
Hajiji berkata tahun ini merupakan permulaan kepada fasa baharu pembangunan Sabah menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) bagi tempoh 2026 hingga 2030, sebagai kesinambungan usaha yang dilaksanakan melalui SMJ 1.0.
Katanya, SMJ 2.0 disusun dengan matlamat melonjakkan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi Sabah, di samping memastikan pembangunan yang dilaksanakan kekal inklusif dan mampan.
“Kita mahu Sabah yang ekonominya lebih pelbagai, lebih banyak memberi peluang kepada rakyat dan kita mahu modal insan yang lebih bersedia menghadapi ekonomi masa hadapan.
“Dan kita mahu pembangunan yang akhirnya meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus menyediakan persekitaran kondusif kepada pembangunan dengan memperkukuh infrastruktur, memperbaiki penyampaian perkhidmatan serta menarik pelaburan yang bersesuaian.
Pada masa sama, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan sektor swasta dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan.
Hajiji turut menegaskan bahawa pembangunan Sabah bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk sektor swasta, agensi pelaksana, usahawan dan rakyat.
“Kita tidak mahu Sabah hanya menjadi tempat pelaburan. Kita mahu anak Sabah menjadi sebahagian daripada pelaburan dan pertumbuhan itu,” katanya.
Beliau berkata kemajuan mesti dapat dirasai masyarakat di bandar dan luar bandar, usahawan besar dan kecil serta golongan muda dan generasi lebih berusia.
Katanya, kerajaan negeri akan terus memberikan perhatian kepada pembangunan setiap daerah kerana tiada daerah yang terlalu jauh dan tiada potensi yang harus dibiarkan begitu sahaja.






