KOTA KINABALU: Orang ramai di sekitar Kota Kinabalu disaran mengurangkan aktiviti luar berikutan Indeks Sinaran Ultraungu (UV) direkodkan pada tahap ekstrem pada tengah hari ini.
Data pencerapan Stesen Brewer #231 Kota Kinabalu pada Rabu menunjukkan bacaan UV meningkat kepada 14 pada jam 12 tengah hari sebelum sedikit menurun kepada 13 pada jam 1 petang.
Bacaan 11 dan ke atas dikategorikan sebagai tahap ekstrem, sekali gus menunjukkan pendedahan terus kepada cahaya matahari perlu dielakkan atau diminimumkan, khususnya pada waktu tengah hari.
Bagi mengurangkan risiko akibat pendedahan berlebihan kepada sinaran UV, orang ramai dinasihatkan mengehadkan aktiviti di kawasan terbuka, terutama antara jam 10 pagi hingga 3 petang.
Mereka yang perlu berada di luar pula disarankan menggunakan pelindung matahari dengan SPF 30 atau lebih tinggi, selain memakai pakaian yang menutupi kulit, topi bertepi lebar dan cermin mata hitam dengan perlindungan UV.
Orang ramai juga digalakkan berada di kawasan teduh atau bangunan apabila keadaan memerlukan serta memastikan pengambilan air yang mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi ketika cuaca panas.
Pendedahan berlebihan kepada sinaran UV boleh meningkatkan risiko selaran matahari dan kerosakan pada kulit serta mata, justeru langkah perlindungan wajar diberi perhatian ketika bacaan berada pada tahap ekstrem.





