Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Aktiviti ketenteraan AS-China di Laut Cina Selatan perlu diberi perhatian

Read Time:1 Minute, 34 Second

KOTA KINABALU: Provokasi ketenteraan yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan China di perairan Laut Cina Selatan boleh menggugat keselamatan rentas sempadan negeri ini.

Pengerusi Kelab Backbenchers Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata aktiviti ketenteraan dua kuasa besar itu tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi mengancam kedaulatan negara, khususnya melibatkan Sabah dan Sarawak.

Beliau menggesa Wisma Putra supaya segera mengadakan rundingan diplomatik membabitkan AS, China dan Filipina bagi memastikan perairan Laut Cina Selatan kekal selamat untuk laluan perdagangan serantau.

Wakil Rakyat Kuamut itu turut melahirkan kebimbangan susulan dakwaan bahawa kerajaan Filipina bersama AS telah membangunkan kemudahan dan aset ketenteraan berskala besar di Pulau Balabac, selatan Filipina, yang hanya terletak kira-kira 50 kilometer dari Pulau Banggi, Sabah.

“Memandangkan operasi ketenteraan berkenaan sangat hampir dengan Sabah, kerajaan Malaysia wajar mengambil perhatian serius dari sudut keselamatan rakyat, terutama di pantai utara Sabah.

“Faktor utama ialah kehadiran sejumlah besar tentera AS di Pulau Balabac berpotensi mencetuskan situasi di luar jangkaan. Harus diingat bahawa sehingga kini Filipina masih menuntut kedaulatannya terhadap wilayah Sabah,” tegasnya.

Menurut Masiung, aktiviti ketenteraan AS dan China di sekitar Borneo semakin memuncak apabila kedua-dua kuasa besar itu terus memperkukuh kehadiran tentera serta aset pertahanan masing-masing.

Mengulas lanjut, beliau bimbang keadaan di pantai utara Sabah semakin terdedah kepada konflik dan tidak menolak kemungkinan insiden kecil boleh berkembang menjadi ketegangan yang lebih serius.

Masiung berkata, walaupun Malaysia dan Filipina kini mengekalkan hubungan dua hala serta diplomatik yang baik, Malaysia perlu terus berwaspada terhadap sebarang kemungkinan di luar jangkaan.

Beliau berkata, perkembangan aktiviti ketenteraan di perairan Laut Cina Selatan wajar diberi perhatian serius oleh semua negara serantau bagi mengelakkan sebarang kejadian yang boleh menjejaskan keselamatan dan kestabilan kawasan.

Perkembangan terkini di perairan Laut Cina Selatan turut menarik perhatian negara-negara serantau berikutan peningkatan kehadiran kapal perang, pesawat tempur, sistem peluru berpandu serta aset ketenteraan canggih oleh AS dan China.

LEAVE A RESPONSE