Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Lebih RM1 bilion tangani isu bekalan air Sabah

Read Time:2 Minute, 53 Second

SEMPORNA : Kerajaan Negeri Sabah membelanjakan lebih RM1 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek berkaitan bekalan air di seluruh negeri dalam usaha menangani masalah infrastruktur yang diwarisi sejak sekian lama.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pelaksanaan projek berkenaan termasuk penggantian paip-paip lama di kebanyakan daerah bagi mengurangkan masalah kebocoran serta kehilangan air.

Beliau berkata, beberapa projek berskala besar berkaitan bekalan air kini sedang dilaksanakan dan dijangka siap secara berperingkat, termasuk satu projek yang dijangka disiapkan menjelang hujung tahun ini.

“Terdapat dua tiga projek besar yang akan siap tidak lama lagi. Satu daripadanya hujung tahun ini dan di sebelah Tawau pun progres lebih kurang 50 hingga 60 peratus.

“Kita ganti paip-paip air di kebanyakan daerah kerana banyak kebocoran, banyak kecurian dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran 106 Unit Kedai Dua Tingkat Fasa 1 serta Pecah Tanah Projek Komersial Fasa 2 dan 3 Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPBB) di Jalan Bubul, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, masalah bekalan air di Sabah bukan isu baharu dan bukan hanya berlaku di bawah pentadbiran kerajaan negeri ketika ini, sebaliknya merupakan masalah yang telah diwarisi sejak sekian lama.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus mengambil tindakan secara berperingkat bagi memastikan kemudahan asas berkenaan dapat ditambah baik demi kepentingan rakyat.

“Masalah air ini bukan datang waktu kerajaan ini, ia diwarisi dari dulu lagi. Jadi kita kena lakukan yang terbaik sebagai kerajaan yang bertanggungjawab.

“Betullah orang politik, air tiada, dia salahkan kerajaan kita. Tapi apa yang dia buat waktu dia berkuasa, tidak ada apa-apa. Yang penting kita positif saja, kita baik, kita laksanakan untuk kemudahan rakyat kita,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata pembangunan 106 unit kedai dua tingkat yang dilaksanakan LPBB dijangka merancakkan kegiatan ekonomi di Semporna selain membuka lebih banyak peluang kepada penduduk tempatan.

Katanya, pembangunan berkenaan amat penting dalam menyokong pertumbuhan Semporna sebagai salah satu daerah pelancongan utama Sabah yang menerima kemasukan pelawat dari dalam dan luar negara.

“Saya merasmikan pelancaran projek LPBB, unit kedai yang telah siap 106 unit dan juga pelancaran fasa kedua dan ketiga, juga unit kedai.

“Ini menunjukkan ia akan lebih merancakkan ekonomi di daerah Semporna ini,” katanya.

Hajiji berkata, kewujudan lebih banyak premis perniagaan akan memberi ruang kepada pelancong untuk menjalankan aktiviti membeli-belah selain mendapatkan kemudahan makanan dan minuman.

“Semporna adalah daerah pelancongan di mana pelancong banyak datang ke sini dan saya yakin dengan terbinanya kedai-kedai ini akan memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk membeli-belah ataupun datang untuk makan, minum dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata perkembangan sektor komersial itu turut membuka peluang kepada penduduk tempatan dan kawasan sekitar untuk mengambil bahagian dalam aktiviti ekonomi yang semakin berkembang.

Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada pemaju, projek komersial berkenaan turut merangkumi pembinaan sebuah jeti yang akan dilaksanakan sendiri oleh pihak berkenaan.

Hajiji berkata pembangunan berkenaan selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menggalakkan penglibatan rakyat, pemaju serta sektor swasta dalam pembangunan negeri.

“Antara hala tuju kita dalam SMJ ialah peluang kepada semua rakyat, pemaju dan pihak swasta.

“Kita mempunyai dasar yang terbuka, ‘friendly investor’. Ini sahaja cara kita untuk maju ke hadapan,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri akan terus mewujudkan dasar yang memudahkan pemaju dan pelabur dari dalam serta luar Sabah untuk melaksanakan pelaburan yang mampu merancakkan aktiviti ekonomi.

“Kita gubal satu dasar yang memudahkan para pemaju dan juga pelabur daripada luar datang ke sini kerana kalau ada pelaburan dan aktiviti ekonomi, kita akan wujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat kita seluas-luasnya,” katanya.

LEAVE A RESPONSE