Read Time:1 Minute, 38 Second
KUALA LUMPUR, — Lebih tiga juta pelanggan Yes kini boleh menggunakan platform kecerdasan buatan (AI) ILMUchat Pro secara percuma susulan kerjasama strategik antara YTL AI Labs dan Yes (YTL Communications), sekali gus memperluaskan akses kepada teknologi AI tempatan di seluruh negara.
Melalui integrasi Single Sign-On (SSO) dalam aplikasi MyYes, pelanggan boleh terus mengakses ILMUchat menggunakan akaun sedia ada tanpa perlu mendaftar secara berasingan. Inisiatif itu turut menjadikan Yes sebagai syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang menawarkan akses AI premium kepada keseluruhan pangkalan pelanggannya.

Selain kemudahan berinteraksi dengan AI, pelanggan kini boleh menggunakan ILMUchat untuk menghasilkan slaid pembentangan, mereka bentuk poster, membangunkan aplikasi mini dan permainan, serta menyediakan surat, cadangan dan mesej yang boleh dihantar terus melalui WhatsApp atau e-mel.
Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs, Foong Chee Mun berkata kerjasama itu merupakan langkah penting dalam memperluaskan penggunaan AI buatan Malaysia kepada jutaan pengguna, selain mengukuhkan pembangunan AI yang memahami bahasa, budaya dan konteks tempatan.
Beliau berkata ILMUchat dibangunkan khusus untuk pengguna Malaysia dengan keupayaan memahami penggunaan Bahasa Melayu, bahasa campuran, dialek tempatan serta rujukan harian seperti PTPTN dan KWSP, sekali gus menawarkan pengalaman yang lebih relevan berbanding platform AI antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K. Lee berkata pemberian akses percuma kepada ILMUchat Pro merupakan sebahagian daripada strategi syarikat untuk mempercepat penggunaan AI dalam kalangan rakyat Malaysia sambil memperkukuh kedudukan Yes sebagai syarikat telekomunikasi “AI-first”.

Dalam perkembangan sama, YTL AI Labs turut memperkenalkan model langganan ILMUchat kepada pengguna umum dengan pelan Basic yang ditawarkan secara percuma, manakala pelan Pro berharga RM50 sebulan menyediakan akses tanpa had kepada fungsi premium termasuk penjanaan slaid, poster, pembangunan aplikasi dan muat naik fail.
ILMUchat kini boleh diakses menerusi pelayar web, Apple App Store, Google Play Store serta aplikasi MyYes. Platform itu dibangunkan sebagai AI berdaulat (sovereign AI) Malaysia yang memberi penekanan kepada keselamatan data, penggunaan bahasa tempatan dan pembangunan teknologi AI mengikut keperluan negara.






