Read Time:2 Minute, 2 Second
KOTA KINABALU: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan pentadbiran universiti yang sekali lagi membenarkan penganjuran Sabah Motor Day (SMD) di dalam kawasan kampus.
Dalam satu kenyataan, MPP UMS berkata, walaupun universiti sentiasa terbuka menjadi tuan rumah kepada pelbagai program dan acara, setiap penganjuran perlu dinilai secara teliti bagi memastikan ia bersesuaian dengan fungsi kampus sebagai institusi pendidikan serta tidak menjejaskan kesejahteraan warga universiti.
Menurut MPP, berdasarkan pengalaman penganjuran Sabah Motor Day pada tahun-tahun sebelum ini, beberapa isu telah dibangkitkan oleh mahasiswa dan masyarakat setempat termasuk dakwaan gangguan seksual, pembuangan sampah yang tidak terkawal, pencemaran bunyi serta pencemaran udara.
Katanya, isu-isu tersebut merupakan corak berulang yang seharusnya dijadikan asas untuk menilai semula kesesuaian lokasi penganjuran acara berkenaan, bukannya diberikan kelulusan secara berterusan tanpa penelitian menyeluruh.
MPP turut menyuarakan kebimbangan terhadap tempoh penganjuran acara yang berlaku hampir dengan kemasukan pelajar baharu serta pelaksanaan Minggu Suai Mesra (MSM) bagi sesi akademik baharu.
Menurut kenyataan itu, perhatian dan sumber universiti sepatutnya tertumpu kepada persiapan menyambut kehadiran pelajar baharu, namun pada masa sama pihak pentadbiran perlu menguruskan sebuah acara awam berskala besar yang berpotensi memberi kesan kepada persekitaran kampus.
“Sekiranya masalah seperti pencemaran alam sekitar atau kerosakan infrastruktur berulang seperti yang berlaku sebelum ini, kesannya mungkin masih dirasai ketika pelajar baharu mula memasuki kampus,” menurut kenyataan tersebut.
Bagaimanapun, MPP menegaskan bantahan yang dikemukakan bukanlah terhadap Sabah Motor Day atau objektif program itu yang bertujuan mempromosikan keselamatan jalan raya serta kesedaran anti-dadah dalam kalangan belia.
Sebaliknya, mereka berpandangan bahawa isu utama adalah berkaitan pemilihan lokasi dan masa penganjuran program.
MPP berpendapat acara berskala besar seperti Sabah Motor Day lebih sesuai diadakan di lokasi yang mempunyai kapasiti dan infrastruktur yang lebih lengkap seperti Stadium Likas atau kawasan penganjuran acara awam lain yang mampu menampung jumlah pengunjung yang ramai tanpa mengganggu operasi institusi pendidikan.
Sehubungan itu, MPP UMS menggesa pihak pentadbiran universiti supaya mengkaji semula keputusan membenarkan acara tersebut diadakan di dalam kampus, melibatkan mahasiswa secara lebih telus dalam perbincangan berkaitan penggunaan ruang universiti oleh pihak ketiga serta memberi keutamaan kepada aspek keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan warga kampus dalam setiap keputusan yang dibuat.
Menurut MPP, pandangan dan kebimbangan yang disuarakan oleh mahasiswa tidak seharusnya dianggap sebagai halangan kepada pembangunan universiti, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha memastikan kemajuan institusi dicapai secara bertanggungjawab dan mampan.
MPP berharap pihak pengurusan UMS dapat mengambil kira suara mahasiswa serta bertindak demi kepentingan bersama seluruh warga kampus. – FOTO KREDIT MAWARDI





