Read Time:1 Minute, 22 Second
TAWAU: Dua kenderaan perdagangan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Tawau selepas pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan berkaitan lesen, permit dan peraturan kenderaan dalam operasi khas di daerah ini.
Kenderaan terbabit ialah sebuah lori jenis Rigid-Luton yang disita di Jalan Kuhara pada 6 November dan sebuah Semi Trailer – Open Platform di Jalan Apas Balung pada 5 November.
Menurut kenyataan JPJ Negeri Sabah, pemeriksaan terhadap lori Rigid-Luton dalam Operasi Khas Kenderaan Perdagangan mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Pembawa/Permit LPKP telah tamat tempoh.
Susulan itu, kenderaan berkenaan disita dan dibawa ke JPJ Cawangan Tawau untuk pemeriksaan serta siasatan lanjut.
Notis sita turut dikeluarkan, manakala notis saman dikeluarkan kepada pemandu dan pemilik kenderaan.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, JPJ Negeri Sabah memaklumkan bahawa sebuah Semi Trailer – Open Platform turut disita dalam Operasi Khas Kenderaan Perdagangan dan Pewa di Jalan Apas Balung.
Hasil pemeriksaan mendapati pemandu warga asing tidak mempunyai Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Memandu Kenderaan Perdagangan (GDL).
Pemeriksaan juga mendapati LKM dan pemeriksaan PUSPAKOM bagi semi trailer berkenaan telah tamat tempoh, selain kenderaan tidak diselenggara dengan baik serta membawa muatan melebihi had yang dibenarkan.
Kenderaan itu turut disita dan dibawa ke JPJ Cawangan Tawau untuk pemeriksaan serta siasatan lanjut, manakala notis sitaan dan notis saman dikeluarkan kepada pemandu serta pemilik kenderaan.
JPJ Negeri Sabah menegaskan bahawa pihaknya memandang serius kesalahan melibatkan kenderaan perdagangan, khususnya berkaitan kelayakan pemandu, pematuhan lesen, keadaan teknikal kenderaan dan had muatan yang dibenarkan.
Sehubungan itu, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan secara tegas dan tanpa kompromi bagi memastikan setiap pengusaha serta pemandu kenderaan perdagangan mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan demi keselamatan pengguna jalan raya.






