Read Time:1 Minute, 28 Second
KOTA KINABALU Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak berkata landskap politik Sabah dan Sarawak berkembang melalui laluan yang berbeza sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963, dipengaruhi faktor sejarah, demografi serta kepimpinan tempatan masing-masing.
Menurut beliau, di Sarawak, UMNO tidak pernah bertapak kerana langkah itu dilihat penting bagi mengekalkan kestabilan politik negeri serta mengelakkan perpecahan sokongan Bumiputera, khususnya dalam kalangan Bumiputera Islam.
Katanya, walaupun parti nasional seperti PKR, DAP dan PAS hadir membawa naratif reformasi, keadilan sosial dan politik pelbagai kaum, pengaruh mereka di Sarawak masih tertumpu kepada kawasan tertentu sahaja.
“Parti-parti tempatan terus menjadi kekuatan utama terutama di kawasan luar bandar dan campuran, sekali gus menjadikan Sarawak lebih cenderung kepada kepimpinan negeri dalam memperjuangkan isu hak negeri, pembangunan dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Salleh berkata situasi di Sabah pula berbeza apabila UMNO memasuki negeri itu pada tahun 1991 atas jemputan Tun Mustapha Harun dan United Sabah National Organisation (USNO) bagi menyatukan sokongan Bumiputera Islam.
Beliau berkata kemasukan UMNO ketika itu membolehkan parti tersebut memainkan peranan dominan dalam politik Sabah untuk satu tempoh yang panjang.
Bagaimanapun, katanya, landskap politik Sabah kini berubah apabila sokongan Bumiputera telah berpecah kepada beberapa blok politik dan UMNO bukan lagi wadah tunggal penyatuan masyarakat Bumiputera di negeri itu.
“UMNO Sabah hari ini tidak lagi memainkan peranan dominan, sebaliknya menjadi pelengkap yang menyokong kerajaan negeri yang diterajui serta ditunjangi oleh gabungan parti tempatan,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa masa depan UMNO di Sabah bergantung kepada sejauh mana parti itu menerima realiti politik semasa dan membina kerjasama strategik demi memperkukuh perpaduan, pembangunan negeri serta pelaksanaan MA63.
Secara keseluruhan, katanya, Sarawak kekal dipacu oleh parti-parti tempatan manakala Sabah mengekalkan keseimbangan antara kekuatan parti tempatan dan peranan pelengkap parti nasional.






