KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun, menghadiri raptai sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah (HKHS) 2026 bagi meninjau persiapan akhir serta memastikan kelancaran perjalanan kedua-dua sambutan berkenaan.
Masidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan HKHS 2026, turun padang meninjau pelbagai aspek persiapan termasuk perjalanan acara, susunan persembahan serta penglibatan pihak-pihak yang terbabit dalam menjayakan sambutan berkenaan.
Beliau berkata, persiapan yang rapi penting bagi memastikan sambutan yang bakal berlangsung pada 31 Ogos itu dapat dilaksanakan dengan lancar, teratur dan meriah, sekali gus memberikan pengalaman bermakna kepada rakyat Sabah.

Menurutnya, sambutan Hari Kebangsaan akan diadakan pada sebelah awal pagi, manakala sambutan Hari Sabah pula berlangsung pada sebelah malam pada tarikh yang sama.
Kedua-dua sambutan itu akan diadakan di Dataran Bandaraya, Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu.

Sehubungan itu, Masidi menjemput seluruh rakyat Sabah untuk hadir beramai-ramai bagi menyaksikan serta memeriahkan sambutan berkenaan.
Beliau berkata, pelbagai pengisian dan persembahan menarik telah disediakan sebagai sebahagian daripada acara sambutan, selain menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat patriotisme, perpaduan dan kecintaan terhadap negeri serta negara.
Orang ramai turut digalakkan mengambil peluang untuk hadir bersama keluarga dan menyaksikan pelbagai acara yang disediakan sepanjang sambutan berkenaan.






