Read Time:1 Minute, 2 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Sabah dijangka menerima baki pemberian khas interim berjumlah RM900 juta daripada Kerajaan Persekutuan sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan datang.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah menghubungi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bagi menyampaikan jaminan penyaluran peruntukan berkenaan.
Beliau berkata, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan akan memastikan baki pemberian khas interim itu diterima sebelum DUN Sabah bersidang pada 4 Disember ini.
“Ya, saya baru dimaklumkan bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri menelefon Ketua Menteri untuk menyampaikan pesanan kepada saya bahawa beliau akan memastikan baki peruntukan tambahan RM900 juta itu diterima sebelum Dewan bersidang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyampaian bantuan kepada institusi agama bukan Islam serta sekolah mubaligh, sekolah Cina dan sekolah persendirian di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau turut dimaklumkan bahawa pembayaran peruntukan berkenaan berkemungkinan dibuat pada penghujung bulan ini.
Katanya, penyaluran baki pemberian khas interim itu akan membantu memperkukuh kedudukan kewangan negeri, khususnya dalam memenuhi keperluan perbelanjaan serta pelaksanaan pembangunan.
“Ya, banyak membantu. Dan inilah yang kita mahukan. Perkara yang mudah untuk dibuat keputusan, kita buat keputusan dengan cepat,” katanya. – SABAH MEDIA





