Read Time:1 Minute, 22 Second
KOTA KINABALU: Dua mangsa ditemukan rentung manakala seorang lagi masih dikhuatiri hilang dalam kebakaran membabitkan kira-kira 200 rumah atas air di kawasan Kampung Numbak, awal pagi Ahad.

Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 1.40 pagi itu turut melibatkan kawasan rumah setinggan atas air jenis tidak kekal yang merangkumi Kampung Lok Buta, Kampung Lok Poring dan Kampung Sabang Lama.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, PKPjB Mohd Pisar Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.40 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira 14 minit kemudian.
Menurutnya, anggaran awal mendapati kebakaran melibatkan kira-kira 200 rumah dengan kawasan terjejas berkeluasan sekitar 260 x 380 kaki persegi.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 1,000 kaki dengan empat pancutan, manakala sumber air diperoleh daripada jentera bomba dan sumber air terbuka iaitu laut.
“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan berhampiran dan operasi pemadaman serta kerja-kerja overhaul sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Mohd Pisar berkata, tiga mangsa dilaporkan dikhuatiri hilang dalam kejadian itu.
“Setakat ini, dua mangsa telah ditemui rentung oleh pasukan bomba, manakala operasi pencarian bagi seorang lagi mangsa masih diteruskan.
“Jumlah sebenar rumah yang terlibat serta status mangsa masih dalam proses pengesahan dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.
Seramai 44 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Tuaran terbabit dalam operasi berkenaan.
Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity.
Sehingga jam 6.26 pagi, operasi dilaporkan terkawal dan pasukan bomba masih menjalankan kerja pemadaman serta pencarian mangsa. – SABAH MEDIA






