Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Lelaki ditahan dalam kes penyelewengan barang kawalan bersubsidi di Semporna

Read Time:1 Minute, 22 Second

SEMPORNA: Seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes disyaki melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi dalam operasi penguatkuasaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di sekitar Pekan Semporna di sini pada Rabu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkam, penahanan itu dibuat selepas pihaknya menerima serahan kes daripada BN 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak hasil satu operasi yang dijalankan.

Dalam operasi berkenaan, pihak berkuasa telah menemukan sejumlah barang kawalan yang dipercayai disimpan di sebuah premis yang tidak dilesenkan atau tidak mendapat kebenaran daripada Pengawal Bekalan.

Menurut KPDN Sabah, rampasan melibatkan 59 kotak tepung gandum cap kuda seberat 590 kilogram, 249 kotak tepung gandum cap lili seberat 2,539.80 kilogram, 34 karung tepung gandum cap kuda seberat 850 kilogram serta 47 bundle gula pasir kasar jenama prai seberat 1,128 kilogram.

Tambahnya, keseluruhan nilai rampasan barang kawalan dan kes dianggarkan berjumlah RM13,137.28.

KPDN Sabah berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tindakan lanjut.

Pihaknya turut memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat supaya tidak terlibat dalam aktiviti penyelewengan atau penyalahgunaan barang kawalan bersubsidi kerana tindakan tegas boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang.

“Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, selain hukuman penjara atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, hukuman denda boleh mencecah sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” menurut kenyataan itu.

KPDN turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan melalui saluran rasmi jabatan bagi membantu usaha membanteras kegiatan tersebut.

LEAVE A RESPONSE