Read Time:1 Minute, 18 Second
TONGOD: Pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi, termasuk pengamal adat, pemaju masyarakat dan pemaju mukim, perlu memperkukuh pengetahuan serta melengkapkan diri dengan maklumat sahih bagi menangkis fitnah dan penyebaran berita palsu terhadap kerajaan.
Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata pemimpin akar umbi perlu bersedia dengan fakta dan maklumat tepat bagi memberi penjelasan kepada penduduk berhubung pelbagai spekulasi negatif yang dimainkan pihak tertentu, khususnya golongan ekstremis politik.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemimpin di peringkat daerah yang cuba memainkan isu kritikal untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Amanat ADUN Kuamut di Dewan Majlis Daerah Tongod, di sini, semalam.
Masiung turut menegaskan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta ketua-ketua kampung perlu meningkatkan pengetahuan melalui kursus dan latihan, selain memastikan setiap maklumat yang disampaikan kepada penduduk berasaskan fakta yang sahih.
Menurutnya, pihak pembangkang dan penyokong mereka sering menggunakan media sosial untuk menyebarkan dakwaan serta memainkan sentimen politik bagi memburukkan kerajaan.
Masiung yang juga Pengerusi Kumpulan Sedco itu berkata, pemimpin masyarakat yang dilantik atau dipilih perlu sentiasa peka terhadap dasar dan program pembangunan kerajaan, khususnya yang memberi manfaat kepada penduduk di kawasan masing-masing.
Katanya, pelaksanaan projek pembangunan luar bandar memerlukan perancangan teliti dan tidak dapat direalisasikan dalam sekelip mata.
Sehubungan itu, beliau turut menegaskan pemimpin akar umbi perlu melengkapkan pengetahuan, terutama berkaitan isu bekalan air, elektrik dan jalan raya, supaya dapat memberikan penjelasan tepat apabila isu berkenaan dibangkitkan pihak pembangkang.
Pegawai Daerah Tongod, Hadzlan Jablee dan Pegawai Pemimpin Masyarakat (PPM), Tokyo Hasim Omar, antara kira-kira 250 pegawai serta kakitangan kerajaan yang menghadiri majlis berkenaan.





