Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

MCCC Sabah ketuai delegasi 100 ahli ke Guangzhou

Read Time:2 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU: Dewan Perdagangan Malaysia–China (MCCC) Sabah akan mengetuai delegasi seramai 100 ahli ke Guangzhou, China, dari 11 hingga 14 November ini bagi meneroka peluang perdagangan, pelaburan dan kerjasama industri antara Malaysia dan China.

Presidennya, Datuk Dexter Lau, berkata lawatan itu merangkumi program pertukaran kerajaan dan perniagaan, lawatan industri serta Majlis Makan Malam Rangkaian Perniagaan Malaysia–China Guangzhou.

Menurutnya, program berkenaan bertujuan memperkukuh hubungan antara komuniti perniagaan Sabah dengan agensi kerajaan, syarikat dan dewan perniagaan di China, selain membuka ruang kepada kerjasama rentas sempadan.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai kunjungan hormat kepada Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, bagi memberikan taklimat mengenai persiapan lawatan berkenaan.

Dexter berkata penyertaan ahli MCCC Sabah yang menggalakkan mencerminkan minat komuniti perniagaan negeri ini untuk meneroka pasaran China dan mengenal pasti peluang perniagaan baharu.

“Kami amat gembira melihat sambutan positif daripada ahli dewan, wakil kerajaan dan komuniti perniagaan yang akan menyertai lawatan ke Guangzhou ini.

“Program ini bukan sekadar lawatan industri, tetapi inisiatif penting yang menghimpunkan kerajaan Sabah dan komuniti perniagaan untuk meneroka peluang serta memperkukuh hubungan kerjasama,” katanya.

Sepanjang lawatan itu, delegasi dijadualkan menyertai program berkaitan sektor pertanian, perdagangan dan industri makanan, selain sesi rangkaian bersama wakil kerajaan China, pengurusan tertinggi syarikat serta dewan perniagaan tempatan.

Sesi berkenaan akan memberi peluang kepada peserta memahami perkembangan industri dan trend pasaran, di samping mengenal pasti potensi kerjasama dalam perdagangan, pelaburan dan pertukaran teknologi.

Dexter berkata matlamat utama lawatan itu adalah untuk membina hubungan perniagaan yang lebih kukuh dan memastikan peluang kerjasama yang dikenal pasti dapat diterjemahkan kepada hasil nyata.

“Nilai sebenar sesebuah rangkaian perniagaan terletak pada keupayaan mengenal pasti bidang kerjasama dan melaksanakan tindakan susulan secara konsisten sehingga menghasilkan manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Dalam pertemuan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jamawi atas sokongan terhadap program berkenaan, termasuk usaha menyelaras penyertaan pegawai daripada jabatan berkaitan.

Antara pegawai yang dijadualkan menyertai delegasi ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ts. Jifrin Mohamad; Setiausaha Perhubungan Awam kepada Menteri, Dr. Awang Faisal Assyiffa Ag. Rahim; Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Jackson Ronald Jaimi; Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Lawrence Kissol Jr; Pengurus Besar Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan), Datuk Yusof Ag. Besar; serta Pengurus Besar Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA), Burhan Japar.

Penyertaan pegawai berkenaan dijangka membantu memperluas pertukaran pengetahuan dan pengalaman, khususnya dalam sektor pertanian, perikanan serta industri makanan.

Selain lawatan korporat dan sesi padanan perniagaan, delegasi turut dijadualkan mengunjungi Universiti Sun Yat-sen. Jamawi dijangka menyampaikan ucapan dan berkongsi pengalaman bersama mahasiswa universiti berkenaan.

Peserta juga akan mengikuti kursus berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang disampaikan oleh profesor universiti itu bagi meningkatkan pengetahuan mengenai perkembangan teknologi serta aplikasinya dalam industri.

Dexter berkata pendedahan berkenaan penting bagi membantu komuniti perniagaan memahami perubahan landskap industri dan mempersiapkan syarikat menghadapi cabaran masa depan.

Menurutnya, Sabah mempunyai potensi dalam sektor pertanian, makanan dan industri berkaitan yang boleh dikembangkan melalui perkongsian pengalaman, perdagangan produk, pelaburan serta pemindahan teknologi.

Beliau menegaskan MCCC Sabah akan terus berperanan sebagai penghubung antara komuniti perniagaan dengan pihak berkepentingan bagi memudahkan kerjasama komersial dan industri yang berpotensi memberikan manfaat kepada syarikat ahli.

Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Timbalan Presiden MCCC Sabah, Kapitan (Dr.) Callee Tan Kai Lee; Naib Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Louis Su; Naib Presiden merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Jacky Chin; Naib Presiden, Yong Siew Lee; serta Timbalan Pengarah Perhubungan Awam, Datuk Yong Wei Hau.

LEAVE A RESPONSE