Read Time:1 Minute, 48 Second
KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor menyambut baik usaha Kerajaan Negeri yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan agensi Persekutuan bagi menambah baik pelaksanaan subsidi diesel bersasar di Sabah.
Pengerusinya, Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata langkah kerajaan negeri memperjuangkan keperluan rakyat Sabah dalam isu subsidi diesel adalah tepat dan wajar mendapat sokongan semua pihak.
Menurutnya, usaha mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak serta meneliti cadangan penambahbaikan membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesan pelaksanaan subsidi diesel bersasar kepada rakyat.
Katanya, pendekatan itu penting kerana Sabah mempunyai keunikan tersendiri yang perlu diambil kira dalam pelaksanaan dasar berkaitan kos sara hidup dan pengangkutan.
“Pelaksanaan subsidi diesel di Sabah tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan pelaksanaannya di Semenanjung Malaysia kerana faktor geografi, infrastruktur dan corak ekonomi rakyat yang berbeza,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, Sabah memiliki keluasan wilayah yang besar, rangkaian jalan raya yang panjang serta kawasan luar bandar dan pedalaman yang luas, selain banyak penempatan bergantung kepada pengangkutan darat untuk menjalankan aktiviti harian dan ekonomi.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kos perjalanan, pengangkutan dan logistik di Sabah lebih tinggi berbanding di Semenanjung, sekali gus memberi kesan langsung kepada penduduk, khususnya mereka yang bergantung kepada diesel untuk menjana pendapatan.
Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Kewangan dan agensi Persekutuan berkaitan dapat mempertimbangkan mekanisme yang lebih fleksibel dan bersesuaian dengan keadaan di Sabah, termasuk memperluaskan akses subsidi diesel kepada lebih ramai pengguna yang benar-benar layak.
Beliau berkata, antara golongan yang wajar diberi perhatian ialah petani, pekebun kecil, penternak, nelayan darat, usahawan kecil serta pengusaha pengangkutan yang bergantung kepada diesel sebagai sumber utama menjalankan aktiviti ekonomi dan menyara kehidupan.
Selain itu, beliau mencadangkan agar mekanisme pelaksanaan subsidi dinilai semula supaya tidak membebankan rakyat dengan prosedur yang terlalu rumit, di samping memastikan harga barangan keperluan harian tidak meningkat akibat kenaikan kos pengangkutan dan logistik.
Pada masa sama, Yazid menggesa agar pertimbangan khas diberikan kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan faktor geografi, tahap pembangunan infrastruktur serta kos sara hidup yang berbeza.
Beliau berharap hasil perbincangan antara Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan dapat menghasilkan penyelesaian yang lebih adil, praktikal dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sabah.






